Wayne Rooney menyamai rekod penjaring kedua terbanyak sepanjang zaman Manchester United selepas meledak gol kemenangan ke atas CSKA Moscow.

Rooney meledak satu-satunya gol yang terhasil pada perlawanan yang berlangsung di Old Trafford pada minit ke-79, sekaligus mengubati resah pengendali, Louis van Gaal mengenai ketumpulan jentera serangannya pada keseluruhan aksi berdepan kelab dari Rusia.

Lebih manis, Rooney berjaya menamatkan kemarau 403 minit tanpa jaringan di mana gol terakhirnya muncul pada aksi menentang Everton di Goodison Park pada 17 Oktober.

Itu jaringan ke-237 buat Rooney yang menyamai rekod Dennis Law, yang merupakan penjaring kedua terbanyak Man United. Manakala rekod Sir Bobby Charlton terdiri daripada 249 gol secara keseluruhan.

Walaupun bergelut, kemenangan 1-0 keatas CSKA Moscow tetap memberikan United tiga mata berharga dan hanya perlukan kemenangan keatas PSV selepas ini, untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan seterusnya.

Sementara itu, PSV mencatat kemenangan 2-0 keatas Wolfsburg untuk berada ditangga kedua Kumpulan B. Manakala The Red Devils pula menerajui kumpulan dengan 7 mata.