Saingan kedua Kumpulan H pada Rabu menyaksikan Rusia terikat satu sama dengan Korea Selatan dalam aksi sengit yang ditampilkan kedua-dua pasukan.

Korea terlebih dahulu memecah kebuntuan menerusi jaringan Lee Kuenho sebelum Aleksandr Kerzhakov menyamakan kedudukan buat Rusia.

Seawal minit ke-11, kubu pertahanan Rusia mula cemas apabila larian pemain muda Korea, Son Heungmin dari bahagian tengah padang hampir menghasilkan gol pertama perlawanan.

Bagaimanapun cubaannya tersasar tinggi melepasi palang.

Rusia dan Korea Selatan kemudian saling melancarkan serangan menerusi beberapa gerakan menarik, namun disiplin pertahanan kemas yang ditampilkan kedua-dua pasukan menafikan setiap cubaan.

Sehingga minit ke-68, kesilapan penjaga gol Rusia, Igor Akinfeev yang gagal menampan kemas rembatan Keunho akhirnya memberikan gol buat Korea mendahului 1-0.

Rusia memperoleh gol penyamaan menerusi pemain gantian, Kerzhakov yang merembat leret bola melepasi penjaga gol Korea, Jung Sungryong.

Kedudukan satu sama kekal sehingga wisel penamat dibunyikan dan Son Heungmin dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

Keputusan ini sekaligus menjadikannya perlawanan kedua selepas aksi tanpa jaringan Brazil-Mexico yang menyaksikan pasukan berentap gagal meraih tiga mata penuh untuk hari keenam kejohanan.