KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara, E. Elavarasan, menganggap undian pada Sukan SEA 2023 di Kemboja dari 5 sehingga 17 Mei ini sebagai menarik dan mencabar.

Beliau berkata ia disebabkan skuad bimbingannya diundi bersama juara bertahan, Vietnam dan juara terbanyak dengan rekod 16 kali, Thailand dalam Kumpulan B yang turut disertai Singapura dan Laos.

Meskipun diundi dalam kumpulan 'maut', beliau optimis skuad Harimau Muda memiliki potensi yang sama seperti pasukan lain dalam memburu slot ke separuh akhir, selain berkeyakinan untuk menghadapi cabaran hebat di temasya sukan dwitahunan itu.

"Fokus dan visi kami tidak akan berubah. Sudah pasti kami akan bersiap sedia untuk berdepan kumpulan sukar ini dan tugas saya sekarang adalah memastikan pasukan ini dalam keadaan bersedia," katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, pada Rabu.

Dalam majlis undian tersebut hari ini, Indonesia, Myanmar, Kemboja, Filipina dan Timor Leste pula diundi dalam Kumpulan A.

Elavarasan sebelum ini meletakkan sasaran layak ke final di Kemboja.

Kali terakhir Malaysia merangkul emas adalah pada edisi 2011 di Jakarta, apabila menundukkan pasukan tuan rumah sebelum gagal mengulangi pencapaian sama pada edisi 2017 di Kuala Lumpur selepas tewas kepada Thailand di final.

-- BERNAMA