KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyalurkan peruntukan secukupnya kepada Institut Sukan Negara (ISN) bagi membolehkan atlet negara mendapat kemudahan terbaik sekali gus menampilkan prestasi positif pada sebarang kejohanan akan datang.

Presiden KHM Datuk Seri Subahan Kamal berkata perkara itu perlu diberikan perhatian bagi memastikan ISN dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada persatuan sukan kebangsaan tanpa memikirkan kekangan kewangan.

"Kami dapati bahawa ISN yang berada di bawah KBS masih susah untuk beri apa yang kami perlukan. Sebagai contoh, kami perlu menggunakan gim setiap hari tapi kami tak dapat berbuat demikian.

"Saya harap KBS kaji semula peranan ISN, beri ISN lebih peruntukan untuk mereka jalankan tugas sebagai pusat sukan... (jika tidak) mereka akan sukar untuk jalankan tugas itu," katanya pada sidang media pengumuman tajaan Piala Dunia Remaja (JWC) Lelaki 2023, di sini semalam.

Jun lepas, Subahan memaklumkan KHM terpaksa menanggung sendiri elaun seperti makanan dan penginapan petugas ISN seperti tukang urut, jurulatih fizikal serta pakar nutrisi, yang berkhidmat untuk skuad hoki lelaki kebangsaan.

Beliau berkata KHM juga terpaksa melantik dua individu dari luar negara sebagai jurulatih fizikal, masing-masing bagi skuad lelaki dan remaja lelaki kebangsaan yang bakal menghadapi saingan JWC berikutan kekurangan petugas.

Pada majlis semalam, Subahan turut mengumumkan Orang Kampung (OK) Group selaku penaja dengan tajaan sebanyak RM300,000 bagi penganjuran JWC 2023, selain menjadikan minuman tenaga Long Qi keluaran syarikat itu sebagai minuman rasmi pada kejohanan berkenaan.

JWC yang akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil dari 5 -16 Dis adalah kejohanan dwitahunan bagi pemain berusia 21 tahun bawah, dengan penyertaan 16 negara.

-- BERNAMA