KYLIAN Mbappe memberikan bayangan akan kekal di Paris Saint-Germain selepas muncul sebagai penyelamat meledak jaringan gol penyamaan ketika berdepan Toulouse dalam aksi Ligue 1 pada Ahad.

Bintang Perancis itu yang masuk sebagai pemain gantian menjaringkan gol menerusi sepakan penalti ketika pasukan kendalian Luis Enrique itu seri 1-1 dengan Toulouse.

Mbappe meraikan jaringannya di hadapan peminat PSG sebelum menjerit 'saya kekal di sini, saya kekal di sini.'

Pemain itu tidak disenaraikan dalam pasukan ketika seri tanpa jaringan dengan Lorient pada perlawanan pembukaan musim ini selepas ketidakpastian mengenai masa depannya di kelab itu.

Penyerang itu telah diminta untuk berlatih berasingan daripada pemain utama PSG selepas enggan menandatangani lanjutan kontrak dengan perjanjian semasanya berbaki kurang daripada setahun.

Mbappe tidak mengambil bahagian dalam jelajah pramusim PSG di Asia selain jersinya juga tidak dijual di kedai kelab itu kerana PSG cuba memaksa pemain berusia 24 tahun itu menerima perjanjian tetap atau perpindahan pinjaman yang akan menyaksikan kelab mendapat pulangan ke atas aset utama mereka.

Bagaimanapun, dia kembali ke latihan pasukan utama hujung minggu lalu dan membuat penampilan pertamanya musim ini pada malam Sabtu.

Awal musim panas ini Mbappe menolak peluang untuk menyertai Al-Hilal selepas pasukan Arab Saudi itu membuat bidaan rekod dunia.

Terdapat spekulasi bahawa Mbappe akan menyertai Real Madrid pada musim panas depan, namun PSG tidak mahu ia berlaku kerana akan merugikan kelab itu. - Sinar Harian