PUTRAJAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin akan menjawab segala kontroversi yang melanda badan induk bola sepak negara itu pada Jumaat ini.

Hamidin berkata, beliau sedia untuk menjelaskan segala persoalan dan kritikan terhadap kepimpinannya susulan kemuncak kemerosotan prestasi pasukan negara pada kempen Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020, Disember lepas.

Katanya, beliau juga tidak pernah bersembunyi selepas skuad Harimau Malaya bimbingan bekas Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe tersingkir seawal peringkat kumpulan pada kejohanan dwitahunan yang berlangsung di Singapura itu.

"Saya tak nak jawab hari ini, saya akan jawab pada Jumaat. Saya mahu berita mengenai perkara ini dilaporkan.

"Saya tak larikan diri, saya ada urusan keluarga di luar dan semalam baru potong gelang kuarantin. Saya bersedia untuk menjawab pada Jumaat, namun hari ini tolong lah fokus kepada majlis pecah tanah," katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah ibu pejabat baharu FAM di Presint 5 di sini, hari ini.

Menurut jemputan media yang diterima Bernama, FAM akan mengadakan sidang media Mesyuarat Khas Pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2021-2025 pada Jumaat ini.

Sebelum ini, prestasi pasukan negara menjadi tumpuan peminat dan pengkritik bola sepak tempatan susulan kegagalan Malaysia selaku naib juara edisi 2018 melangkah ke peringkat separuh akhir kejuaraan Piala AFF 2020.

Harapan untuk melihat pasukan negara sekurang-kurangnya menyamai pencapaian edisi terdahulu itu musnah selepas skuad bimbingan Cheng Hoe menamatkan saingan Kumpulan B di kedudukan ketiga di belakang musuh tradisi Indonesia dan juara bertahan Vietnam.

Malaysia memulakan kempen dengan cemerlang apabila membenam Kemboja 3-1 dan Laos 4-0, namun tewas di tangan Vietnam 0-3 dan Indonesia 1-4.

Berikutan kegagalan itu, Cheng Hoe mengambil keputusan melepaskan jawatan yang disandang sejak 2017, namun terdapat desakan supaya barisan kepimpinan tertinggi FAM turut mengambil tanggungjawab dengan melepaskan jawatan masing-masing.

-- BERNAMA