PEMILIK kelab Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi bayangan berkemungkinan meninggalkan industri bola sepak pada suatu masa nanti.

Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor menegaskan beliau tidak boleh berada dalam industri bola sepak untuk selama-lamanya apabila menegaskan setiap perkara akan berlaku pengakhiran.

Biarpun begitu Tunku Ismail sekali lagi menjelaskan sebagai pemilik Harimau Selatan, beliau tidak akan mengabaikan tanggungjawab terhadap juara 10 kali berturut-turut Liga Super tersebut

Tunku Ismail berkemungkinan akan mengubah pendekatannya dalam menguruskan kelab paling berjaya dalam saingan Liga Malaysia tersebut selepas ini.

“Mungkin masanya (tinggalkan bola sepak) akan tiba nanti kerana sentiasa ada penghujung untuk sesuatu perjalanan itu. Saya tidak boleh berada dalam bola sepak selama-lamanya.

“Memang saya ada semangat dan minat dalam sukan terbabit tetapi mungkin satu hari nanti, saya akan katakan sudah cukup (dengan bola sepak).

“Tetapi saya memiliki JDT dan secara teknikalnya, saya tidak boleh lari dari situ. Mungkin saya tidak terbabit secara terus kerana buat masa sekarang, saya memang terbabit secara langsung dengan pengurusan,” titah Tunku Ismail menerusi podcast 'Keluar Sekejap' di YouTube pada Ahad.

Pada masa sama Tunku Ismail juga mengakui berdepan tekanan daripada aspek kewangan dalam memastikan pengurusan Harimau Selatan beroperasi dengan sempurna.

“Sejujurnya, tekanan dalam segi kewangan sangat berat dalam bola sepak di negara kita. Contohnya Kedah tidak bayar gaji tiga bulan, Sabah, Kelantan dan Sarawak.

“Bukan mudah untuk menjaga kelab bola sepak kerana kita bagi duit tetapi manfaatnya sedikit. Walaupun JDT banyak bekerjasama dengan syarikat antarabangsa, kadang-kadang kita juga bergelut.

“Jadi kadang-kadang saya dan Duli Tuanku (Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar) terpaksa keluarkan duit sendiri,” titah Tunku Ismail lagi. - Sinar Harian