KUALA LUMPUR: Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) serta Kementerian Belia dan Sukan menyokong permohonan Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC), untuk menjadi ahli gabungan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF).

Perkembangan itu disahkan Presiden ASTAF Abdul Halim Kader pada mesyuarat bersama Jawatankuasa Eksekutif badan induk sepak takraw Asia itu, yang berlangsung secara dalam talian pada Rabu, selepas pihaknya menerima salinan surat sokongan daripada dua entiti itu.

"ASTAF dimaklumkan MSC bahawa Pesuruhjaya Sukan Ibrahim Mohd Yusof selain menyatakan sokongan kepada MSC dalam surat bertarikh 28 Feb 2022, beliau tidak mempunyai halangan berhubung permohonan MSC untuk menjadi ahli gabungan Persekutuan.

"Beliau (Ibrahim) juga tidak membantah permohonan MSC untuk bertindak sebagai badan induk pentadbir sepak takraw di Malaysia, demi kemajuan dan perkembangan sukan itu," katanya dalam kenyataan ASTAF semalam.

Dalam pada itu, Halim yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) berkata dengan sokongan badan seperti PJS, menguatkan peluang MSC menggangotai ASTAF secara rasmi tidak lama lagi.

"Tidak keterlaluan kalau saya katakan, sebelah kaki MSC kini seolah-olah sudah di ambang rumah ASTAF," katanya.

Pada masa sama, Halim enggan mengulas mengenai status sebuah lagi badan induk iaitu Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), yang cuba memohon menyertai semula ASTAF pada minggu lepas.

Kemelut sepak takraw negara bermula apabila ASTAF menyingkirkan PSM pada Mei 2021 susulan tindakan presidennya ketika itu Datuk Seri Ahmad Ismail, atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 24 Feb lepas.

Ahmad, yang lebih dikenali sebagai 'Tok Mat' kemudian melepaskan jawatannya dalam PSM pada Jun lepas, diikuti dengan beberapa usaha dan penambahbaikan dibuat oleh persatuan itu dengan harapan untuk kembali mendapat keahlian ASTAF.

Namun ASTAF pada awal bulan ini menegaskan tidak menerima PSM sebagai ahli gabungannya.

Berikutan itu, PJS membenarkan MSC untuk mendapat kepercayaan ASTAF dan ISTAF, sebagai wakil Malaysia dalam sepak takraw di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA