KUALA LUMPUR: Bermain cemerlang ketika bertemu Kemboja baru-baru ini, ketiadaan Akhyar Rashid dalam perlawanan menentang Laos pada Khamis menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Ketua Jurulatih Negara, Tan Cheng Hoe bagaimanapun dalam sidang media selepas perlawanan merungkai persoalan tersebut dan mengesahkan pemain tersebut positif COVID-19.

Beliau berkata demikian ketika diajukan soalan mengenai status Akhyar memandangkan beliau tiada dalam kesebelasan utama dan juga barisan pemain simpanan.

“Akhyar telah beraksi dengan baik dan merupakan pemain terbaik perlawanan sebelum ini berdepan Kemboja.

“Tetapi disebabkan keputusan ujian COVID19 yang dilakukan pagi tadi, dia positif dan tidak boleh bermain untuk perlawanan hari ini.

“Diharapkan dia akan kembali pulih dan dapat segera menyertai pasukan,” katanya dalam sidang media berkenaan.

Situasi terbaharu itu menyaksikan kini tiga pemain Malaysia positif COVID-19 selepas Khairulazhan Khalid dan Faisal Halim beberapa hari lepas.

Malaysia meneruskan langkah baik dalam saingan Piala AFF 2020 apabila merekodkan dua kemenangan berturut-turut selepas yang terbaru, membelasah Laos dengan keputusan empat gol tanpa balas.

BACA: Piala AFF: Safawi ledak hatrik, Malaysia benam Laos 4-0

Pemain sayap, Safawi Rasid muncul sebagai pemain paling menyerlah dengan meledak hatrik sekali gus bergelar penjaring terbanyak kejohanan buat masa ini.

Skuad Harimau Malaya membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh selepas Safawi menyudahkan hantaran cantik daripada Arif Aiman selepas pemain sayap itu mengatasi pertahanan di bahagian kiri pasukan lawan.

Safawi kemudian sekali lagi membuktikan ketajamannya di depan gawang gol apabila menjaringkan gol kedua menerusi tandukan daripada sepakan penjuru pada minit ke-34.

Meskipun menguasai hampir keseluruhan permainan, hanya pada minit ke-78 skuad Harimau Malaya dapat menggegar gawang Laos buat kali ketiga.

Kali ini, tonggak pertahanan, Shahrul Saad pula mencetak nama sebagai penjaring selepas menyudahkan hantaran lolos cantik daripada Baddrol Bakhtiar.

Dua minit kemudian, Safawi menambah derita pasukan lawan apabila meledak hatrik pada minit ke-80, sekali gus merupakan gol keempat pasukan.

Dalam pada itu pengurus pasukan skuad kebangsaan Datuk Mohd Yusoff Mahadi ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan selain Akhyar, Quentin Cheng turut disahkan positif COVID-19.

Menurut beliau kedua-dua pemain berkenaan menjalani proses kuarantin selama 10 hari.