PINGAT Sukan Olimpik Paris diperlihatkan semalam dengan satu elemen yang cukup unik.

Setiap pingat emas, perak dan gangsa Olimpik Paris mempunyai panel heksagon yang diperbuat daripada cebisan logam Menara Eiffel.

Sebanyak 5,084 pingat akan ditawarkan pada temasya sukan yang akan berlangsung untuk kali ketiga di Paris antara 26 Julai dan 11 Ogos depan.

Acara tahun ini jatuh pada genap 100 tahun selepas Paris menjadi tuan rumah pada 1924, dengan ia juga menjadi tuan rumah pada tahun 1900.

Keputusan meletakkan logam Menara Efifel pada pingat diambil oleh urusetia acara bagi menawarkan keunikan yang hanya boleh ditawarkan oleh Paris.

Pada acara Olimpik Tokyo 2020, kesemua pingat dihasilkan menggunakan sisa elektronik yang dikitar semula.

Besi dari galang Menara Eiffel yang diganti bagi tujuan penyelenggaraan telah digunakan pada pingat-pingat ini.

Sejak Olimpik dianjurkan semula pada 1896, sebanyak 36,600 pingat telah diberikan kepada pemenang.