Selepas Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal mengumumkan pendiriannya untuk melepaskan jawatan sekiranya skuad hoki lelaki negara gagal layak beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020, terbaru, timbalannya Prof Datuk Dr Shamala Subramaniam juga akan mengikut langkah yang sama.

Pendirian itu diluahkan sendiri Shamala yang berasakan beliau juga perlu melakukan tindakan yang sama selepas lebih tiga tahun berganding bahu bersama Subahan di KHM dengan komitmen pada tahap tertinggi dicurahkan.

"Bagi saya ini adalah komitmen saya kepada hoki. Saya impikan negara kita layak ke Tokyo 2020 (Sukan Olimpik) dan yang paling penting ialah saya mahu semua orang tahu bahawa kami benar-benar memandang serius perkara itu.

Kami perlu pikul tanggungjawab ini dengan satu harapan iaitu kita dapat mengharumkan nama negara di peringkat tertinggi dan objektif utama adalah kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo," katanya pada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan Kesatuan Hoki Malaysia Kali Ke-65 di sini hari ini.

Pada mesyuarat berkenaan, KHM turut meraikan skuad hoki wanita negara yang telah muncul juara Siri Terbuka Singapura pada Julai lepas.

Dalam pada itu, Shamala menafikan tindakan beliau dan Subahan itu bakal mengundang tekanan yang seolah memberi desakan keras kepada pasukan hoki lelaki untuk mengutip pingat emas di Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang Ogos ini.

"Saya rasa tidak ada tekanan untuk pasukan kerana kita semua sangat optimis berkenaan persiapan pasukan ke Sukan Asia.

"Ia merupakan komitmen pemain untuk mencapai satu tahap prestasi yang kita tidak mampu capai selama 20 tahun sebelum ini," katanya.

Sebelum ini, Subahan yang menggalas tugas itu sejak 2015 mengulangi pendiriannya untuk berundur jika gagal membawa Malaysia ke Sukan Olimpik 2020, bagaimanapun beliau yakin dengan pelbagai perancangan dan sokongan, Malaysia mampu layak secara automatik.

Speedy Tigers membuat penampilan terakhir di Sukan Olimpik ialah pada edisi 2000 di Sydney.

Malaysia mempunyai dua cara untuk layak ke Sukan Olimpik. Pertama dengan memenangi pingat emas Sukan Asia di Indonesia, Ogos ini selain menerusi kempen kelayakan Siri Hoki Dunia.

-- BERNAMA