ALOR SETAR: 'Ibarat sirih pulang ke gagang'.

Itu perumpamaan bagi hampir 100 bekas pemain ragbi Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) dari 1980-an hingga awal 2000 yang kembali turun ke padang sempena perlawanan ragbi persahabatan di Stadium Suka Menanti di sini, Sabtu malam.

Semua alumni yang bernaung di bawah Persatuan Bekas Pelajar KSAH (Sahoca) itu menunjukkan semangat tinggi dalam perlawanan sesama sendiri berkenaan walaupun kebanyakan mereka sudah puluhan tahun tidak bermain ragbi secara aktif.

Setiausaha program, Mohd Fadhli Mohamad Sharif, 45, berkata pihaknya terharu dengan sokongan diberikan para alumni daripada pelbagai latar belakang kerjaya selepas meninggalkan sekolah yang kini berusia 114 tahun itu.

Pemain yang menyertai perlawanan persahabatan ragbi alumni KSAH.

Katanya, ini adalah kali pertama perlawanan persahabatan sedemikian dianjurkan yang bertujuan untuk mengutip dana dan pada masa sama menjadi medan untuk menaikkan semangat pelajar KSAH yang masih belajar.

"Ini adalah usaha kami membantu sekolah mengutip dana untuk pasukan ragbi KSAH selain menaik taraf bangunan kuarters lama di kolej berkenaan untuk dijadikan rumah kelab ragbi KSAH.

"KSAH pernah menjadi kuasa ragbi yang kuat di Malaysia dahulu, malah ramai pemain sekolah ini terpilih mewakili negeri dan negara di kejohanan antarabangsa. Jadi, kita mahu tunjukkan wira-wira KSAH ini kepada pelajar yang sedang belajar.

Pemain yang menyertai perlawanan persahabatan ragbi alumni KSAH.


"Kita mahu pelajar khususnya pemain-pemain ragbi KSAH ketika ini sedar mengenai sejarah ragbi sekolah seterusnya menaikkan semangat mereka untuk mencapai lebih banyak kejayaan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai perlawanan 15 sebelah itu, beliau berkata, para alumni dibahagikan kepada dua pasukan iaitu lepasan tahun genap dan ganjil.

"Kami menyedari kekangan tahap kecergasan kebanyakan peserta, justeru permainan yang berlangsung selama 80 minit dipecahkan kepada empat kali masa rehat.

Pemain yang menyertai perlawanan persahabatan ragbi alumni KSAH.


"Pertukaran pemain juga boleh dilakukan tanpa had bagi mengelakkan pemain terlalu letih yang boleh menyebabkan mereka mengalami kecederaan," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan sambutan diterima, pihaknya merancang untuk mengadakan sekali lagi acara seumpama itu dengan lebih banyak penambahbaikan pada masa hadapan.


Pemain yang menyertai perlawanan persahabatan ragbi alumni KSAH.