JOHOR BAHRU: Malaysia tewas 2-3 kepada Pakistan dalam perlawanan terakhir Kumpulan B Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Taman Daya, di sini malam ini.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia tewas dalam semua tiga perlawanan berturut-turut dan menduduki tempat tercorot dalam Kumpulan B tanpa sebarang mata.

Suku pertama menyaksikan kedua-dua pasukan bermain dengan seimbang dengan melakukan beberapa percubaan sebelum pasukan Pakistan berjaya merobek gawang pasukan Young Tigers menerusi gol padang apabila Abuzar berjaya menampan bola yang melantun selepas terkena tiang gol pada minit ke-13.

Pasukan Young Tigers dilihat sukar menemui rentak dan terus tersentak apabila anak buah Roelant Oltmans sekali lagi membolosi pintu gol tuan rumah hasil pukulan sudut penalti oleh Arbaz Ahmad pada minit ke-21.

Tidak menunggu lama, Pakistan terus selesa untuk menambah gol menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Muhammad Khan pada minit ke-24.

Skuad kendalian Muhamad Amin Rahim cuba bangkit dengan beberapa asakan dan berjaya memecah kebuntuan gol pada minit ke-47 menerusi pukulan sudut penalti Shahmie Irfan Suhaimi.

Pasukan Young Tigers tidak menunggu lama untuk mengejar gol apabila berjaya meraih gol kedua hasil jaringan padang Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini pada minit ke-51.

Keputusan 2-3 kekal sehingga tiupan wisel penamat.

Terdahulu, dalam perlawanan Kumpulan A pada sebelah petang, Jerman menewaskan Great Britain 4-3, manakala Australia menewaskan Afrika Selatan 4-0.



Jadual:



RABU:

Rehat



KHAMIS: (Perlawanan bagi Kedudukan ke-5 hingga ke-8)



New Zealand lwn Afrika Selatan - 6.05 petang

Great Britain lwn Malaysia - 8.35 malam



-- BERNAMA