KUCHING: Prestasi cemerlang kem Sarawak dalam Kejohanan Silat Antarabangsa Premier Sarawak 2023 (SPICS) yang telah memasuki hari keempat menarik perhatian Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Rumpun Silat Sarawak (RSS) dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan berdasarkan tinjauan Fadillah mengenai penganjuran kejohanan berkenaan pagi semalam, beliau berbangga dengan aksi serta semangat kesukanan dipamerkan pesilat Bumi Kenyalang.

Menurut kenyataan itu, Fadillah turut berkata usaha kerajaan negeri menerusi RSS untuk menganjurkan acara bertaraf antarabangsa seperti SPICS secara tidak langsung mempromosi Sarawak ke pentas dunia serta merancakkan pembangunan sukan silat dalam kalangan generasi muda.

Kenyataan itu memaklumkan sebahagian besar wakil negeri, sama ada dalam kategori senior mahupun junior, berjaya mengesahkan tempat ke peringkat akhir yang dijadualkan berlangsung hari ini.

Dalam pada itu, RSS memaklumkan antara atlet tuan rumah yang berjaya melangkah ke peringkat akhir ialah Nor Azeman Pie'e bagi acara Putra B junior, Nur Hazeerah Syafiqah Suffian (Putri B senior) dan Mohd Ashraf Amirul Razaman (Putra D senior).

Saingan hari keempat SPICS menyaksikan kebanyakan acara akhir berlangsung pada sebelah malam dan berdasarkan jadual, kontinjen Sarawak telah mengesahkan kemenangan pingat emas dan perak dalam acara seni Ganda Putra senior di pentas akhir.

Berlangsung di Stadium Perpaduan, SPICS menawarkan hadiah wang tunai berjumlah US$20,000 (RM87,510) bagi juara keseluruhan selain tali pinggang kejuaraan diperkenalkan buat pertama kali bagi juara keseluruhan.

-- BERNAMA