HANGZHOU: Hasrat skuad hoki lelaki kebangsaan untuk layak ke peringkat separuh akhir lebih awal disekat Korea Selatan, selepas tewas 3-4 dalam perlawanan keempat Kumpulan B temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 di Stadium Gongshu Canal Sports Park di sini, hari ini.

Pada pertembungan sengit yang menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas gol itu, skuad kebangsaan bimbingan A. Arul Selvaraj yang diberi julukan 'Speedy Tigers', mendahului seawal minit kelima menerusi penyudah Mohamad Ashran Hamsani.

Korea Selatan menyamakan kedudukan selepas pemain bintangnya Jang Jong Hyun, yang memiliki pengalaman luas beraksi dalam kancah liga tempatan bersama Terengganu Hockey Team (THT), menyempurnakan pukulan penalti pada minit ke-11.

Malaysia kembali mendahului perlawanan apabila Faizal Saari tenang menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-30, namun pasukan lawan kendalian Shin Seokkyo sekali lagi berjaya menyamakan kedudukan menerusi Lee Nam Yong, dua minit selepas suku ketiga perlawanan bersambung.

Kedudukan sekali lagi terikat 3-3 dalam tempoh singkat, apabila pukulan sudut penalti Jang menafikan jaringan pukulan penalti Muhammad Razie Abd Rahim yang menyaksikan kedua-dua gol itu dijaringkan pada minit ke-44.

Dalam suku keempat, Muhammad Razie terlepas peluang keemasan untuk meletakkan Malaysia kembali di depan, selepas gagal menyempurnakan pukulan penalti sebelum Korea Selatan menjaringkan gol kemenangan menerusi pukulan penalti Yang Jihun lima, minit sebelum wisel penamat.

Ini merupakan kekalahan pertama Malaysia dalam saingan kumpulan selepas membelasah Thailand 9-0, Oman (11-1) dan Indonesia 9-2 sebelum ini.

"Ada beberapa kesilapan mudah yang dilakukan seperti dari segi konsentrasi dan apa yang saya nak ingatkan pemain ialah kepekaan di sekeliling padang. Ini kelemahan kita kerana kepekaan kita agak lembab.

"Kalau kita bermain dengan kepekaan yang tinggi pergerakan bola memang bagus, tetapi hari ini lembab sedikit kerana kita kurang peka di atas padang," kata Arul Selvaraj selepas perlawanan sambil enggan menyalahkan Muhammad Razie, susulan gagal menyempurnakan pukulan penalti.

Sementara itu, Muhammad Razie mengakui kecewa dengan kegagalannya dan bertekad untuk bangkit dalam perlawanan wajib menang bertemu China, pada aksi terakhir kumpulan Isnin depan (2 Okt).

"Saya ambil tanggungjawab kerana tidak dapat jaringkan pukulan penalti terakhir itu dan atas keputusan hari ini. Saya berharap kita akan bangkit dan buat yang terbaik untuk aksi terakhir," kata pemain berusia 26 tahun itu.

Tiga pasukan ketika ini berkongsi sembilan mata iaitu Malaysia, Korea Selatan dan China, namun anak buah Arul Selvaraj masih mendahului buat masa ini dengan perbezaan jaringan.

-- BERNAMA