BIRMINGHAM: Memandangkan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang tidak menyertai Sukan Komanwel Birmingham 2022, tumpuan kini sudah pasti terarah kepada Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk menyinar di England.

Walaupun temasya itu memberi peluang besar kepada Shah Firdaus untuk melarikan diri daripada bayangan Azizulhasni terutamanya dalam acara keirin lelaki, beliau bagaimanapun perlu lebih berhati-hati terhadap enam pelumba basikal lain kerana ia boleh memberi ancaman hebat kepada pelumba Malaysia dalam acara yang berlangsung di Lee Valley Velopark, London.

Azizulhasni sebelum ini menarik diri daripada temasya empat tahun sekali itu kerana masih menjalani pemulihan selepas menjalani pembedahan jantung terbuka pada April lepas.

Jurulatih negara, John Beasley berkata seorang daripada pelumba itu ialah Jack Carlin dari England yang telah merempuh Shah Firdaus dalam pusingan kedua, saringan pertama acara keirin di Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang menyaksikan pelumba negara itu dikejarkan ke Hospital Universiti Juntendo di Shizuoka, tahun lepas.

"Selain Carlin, pesaing lain Shah Firdaus terdiri daripada dua pelumba Australia, Mathew Glaetzer, yang juga bekas juara pecut dunia dan Mathew Richardson serta Nicholas Paul dari Trinidad dan Tobago, juara Piala Dunia Berbasikal Trek Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Cali, Colombia, baru-baru ini," katanya kepada Bernama.

Selain itu, beliau berkata dua pelumba New Zealand - Sam Webster, yang merupakan juara pecut Sukan Komanwel dan seorang lagi pelumba keirin yang tidak kurang hebatnya, Sam Dakin - juga perlu diberi perhatian dalam temasya itu.

Dalam pada itu, jurulatih yang berasal dari Australia tersebut telah mencabar anak buahnya untuk mencatat rekod peribadi yang lebih rendah dalam acara yang mereka sertai dan berharap mereka dapat melakar keputusan yang baik semasa berlumba di bawah tekanan di sana.

Skuad berbasikal kebangsaan ke Birmingham terdiri daripada tiga atlet lelaki dan tiga wanita, gabungan pelumba berpengalaman dan baharu.

Pelumba basikal lelaki ialah Shah Firdaus, Muhammad Fadhil Mohd Zonis dan Muhammad Ridwan Sahrom manakala wanita pula ialah Anis Amira Rosidi, Nurul Aliana Syafika Azizan dan bakat muda Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.

Temasya 12 hari itu akan bermula secara rasmi pada 7 malam ini (2 pagi Jumaat waktu Malaysia) yang berlangsung sehingga 8 Ogos.

-- BERNAMA