PHNOM PENH: Seorang atlet lelaki jujitsu kebangsaan dijangka menyumbang emas sulung Malaysia pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja, Sabtu ini.

Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan SEA 2023 Datuk Mohd Nasir Ali berkata atlet sukan tempur berkenaan sememangnya merupakan prospek emas negara pada temasya dwitahunan kali ini.

"Kita jangka selepas majlis pembukaan rasmi Jumaat ini, keesokannya ada acara jujitsu, harap beliau dapat emas, insya-Allah," katanya kepada pemberita selepas majlis menyambut ketibaan atlet Sukan SEA 2023 di pekarangan Kompleks Sukan Nasional Morodok Techo, di sini hari ini.

Kem jujitsu mempertaruhkan dua atlet lelaki iaitu Adam Akasyah dan Soo Yan Wei bagi membawa cabaran negara di Kemboja.

Pada edisi 2021 yang berlangsung di Hanoi, Vietnam, pasukan jujitsu negara membawa pulang dua pingat iaitu perak dalam acara 69 kilogram (kg) lelaki menerusi Adam manakala atlet wanita, Bless Khoon Yin Yeap pula meraih gangsa bagi acara 48kg.

Dalam pada itu, Mohd Nasir memaklumkan hampir 300 daripada keseluruhan 677 atlet telah tiba di Kemboja bagi mengharungi kempen Sukan SEA yang masuk edisi ke-32 itu.

Beliau juga berkata kontinjen negara telah pun bersiap sedia untuk bersaing di Kemboja selain berpuas hati dengan perkhidmatan perubatan disediakan penganjur yang sudah tersedia untuk para atlet termasuk bagi mereka yang mahu mendapatkan bantuan fisioterapi serta psikologi.

Mohd Nasir juga berkata setakat ini, tiada isu pengangkutan mahupun makanan halal dibangkitkan kontinjen negara sejak mereka tiba di sini beberapa hari yang lepas.

"Mereka (kontinjen negara) nampaknya berpuas hati dengan makanan disediakan, malah saya turut berjumpa ketua cef makanan warga Filipina di perkampungan sukan yang beliau pernah kendalikan Sukan SEA 2019 di Manila.

"Namun beliau rasa terkilan sedikit tak dapat sediakan lebih banyak makanan halal kerana bahan-bahannya susah dicari di sini," katanya.

Terdahulu, majlis menyambut ketibaan atlet Sukan SEA 2023 menyaksikan upacara menaikkan bendera kesemua negara bertanding diikuti nyanyian lagu kebangsaan masing-masing turut berkumandang di sini.

Sukan SEA 2023 yang bermula secara rasmi 5 Mei akan berakhir 17 Mei ini.

-- BERNAMA