Skip to main content

Malaysia

Anwar rakam penghargaan kepada Bahrain, petugas jayakan F1 Bahrain GP 2026

Perdana Menteri Anwar turut memuji rakyat tempatan yang disifatkan berjaya mengangkat imej positif negara di mata pengunjung antarabangsa. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Anwar turut memuji rakyat tempatan yang disifatkan berjaya mengangkat imej positif negara di mata pengunjung antarabangsa. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Bahrain atas kepercayaan yang diberikan kepada Malaysia dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi menjayakan penganjuran Formula 1 (F1) Grand Prix Gulf Air Bahrain 2026.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Anwar berkata, kerjasama erat antara SIC dan Litar Antarabangsa Bahrain (BIC) selain komitmen padu seluruh pasukan penganjur, telah membolehkan perlumbaan berprestij dunia itu berlangsung dengan jayanya.

Beliau berkata, pencapaian itu sekali gus memperkukuh hubungan persahabatan antara kedua-dua negara.

"Salut kepada semua yang bertungkus-lumus, daripada pemandu bas, anggota keselamatan dan sukarelawan hingga peniaga serta petugas kebersihan, kerana di sebalik kemeriahan ini ada keringat dan kesungguhan mereka yang wajar kita hargai.

"Terima kasih kepada peminat F1 dari seluruh dunia yang hadir dan terutamanya rakyat Malaysia yang memeriahkan perlumbaan serta menyambut para tetamu dengan penuh kemesraan dan budi bahasa," kata beliau dalam hantaran itu.

Perdana Menteri turut memuji rakyat tempatan yang disifatkan berjaya mengangkat imej positif negara di mata pengunjung antarabangsa.

"Kalian telah memperlihatkan wajah Malaysia yang mesra, terbuka dan kaya dengan semangat muhibah. Semoga kita ketemu lagi di Sepang. Insya-Allah!," kata beliau.

Grand Prix Gulf Air Bahrain 2026, yang berlangsung dari 2 hingga 4 Okt, menyaksikan kepulangan F1 ke Sepang selepas sembilan tahun, dengan perlumbaan terakhir di litar itu diadakan pada 2017. 

Perlumbaan semalam menyaksikan pelumba Red Bull Racing, Max Verstappen menamatkan saingan di tempat pertama, manakala pendahulu kejuaraan Kimi Antonelli daripada Mercedes-AMG Petronas kedua, sementara juara dunia tujuh kali dari Ferrari, Lewis Hamilton meraih podium ketiga.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement