“Faizul sebak dan kesal tidak dapat menyumbang pingat emas kepada negara,” itu yang dikongsikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong selepas melawat pesilat negara, Faizul M Nasir.

Faizul pada Selasa alami kecederaan dan tidak sedarkan diri selepas tewas kepada peserta tuan rumah, Dines Dumaan pada pusingan awal Kelas Putra B.

Steven Sim dalam satu kenyataan memaklumkan, Faizul yang kini menerima rawatan di Pusat Perubatan Clark City dalam keadaan stabil, tetapi masih perlu berada di bawah pemerhatian doktor.


BACA: Kecederaan pesilat negara, Faizul beri impak kepada pesilat lain - CDM

“Setakat ini, Faizul telah menjalani CT scan dan beliau kini sudah berada dalam keadaan stabil.

“Walau bagaimanapun, pihak hospital memaklumkan bahawa beliau masih perlu berada di bawah pemerhatian doktor.

“Saya telah berbincang dengan Dr Victor, pegawai kluster perubatan pihak penganjur Sukan SEA Manila, dan menegaskan bahawa Faizul mesti mendapat khidmat perubatan terbaik di sini,” katanya.

Pada masa sama, Steven Sim turut mendedahkan Faizul kecewa kerana tidak dapat membawa pulang pingat emas buat negara.

“Apabila saya melawat beliau di hospital, Faizul sebak dan kesal tidak dapat menyumbang pingat emas kepada negara.

“Saya memberitahu Faizul bahawa, beliau sudahpun seorang wira di mata kita. Saya yakin Rakyat Malaysia turut akan berasa bangga dengan usaha dan prestasi beliau selama ini,” ujarnya.

Steven Sim turut meminta orang ramai untuk mendoakan kesembuhan buat Faizul.