Sukan SEA: Malaysia di landasan tepat tepati sasaran 200 pingat

Malaysia dijangka tidak berdepan masalah menambah koleksi pingat hari ini, lebih-lebih lagi menerusi sukan terjun dengan tawaran empat pingat emas dan skuasy dengan empat pingat emas. --fotoBERNAMA
BANGKOK: Kontinjen Malaysia dilihat berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran membawa pulang 200 pingat secara keseluruhan pada Sukan SEA 2025 di Thailand.
Ringkasan AI
- Kontinjen Malaysia berpotensi mencapai sasaran 200 pingat pada Sukan SEA 2025 di Thailand, setakat ini telah mengumpul 147 pingat termasuk 30 emas, 31 perak, dan 86 gangsa, menempatkan negara di tempat kelima.
- Malaysia dijangka meningkatkan koleksi pingatnya dengan sukan terjun dan skuasy yang sedang berlangsung, menjadikan pencapaian 34 emas di Kemboja dua tahun lalu mungkin terkecapi.
- Tumpuan pada sukan muay hari ini, dengan enam wakil Malaysia bersaing dalam saingan akhir, termasuk Angie yang merupakan juara dunia U23 Muay Thai dan pasukan bola jaring berusaha meraih hatrik emas menentang Singapura.
Malaysia dijangka tidak berdepan masalah untuk menambah koleksi pingat, lebih-lebih lagi menerusi sukan terjun dengan tawaran empat pingat emas yang bermula hari ini dan skuasy yang sedang berlangsung ketika ini, dengan empat pingat emas menjadi rebutan.
Dalam pada itu, tumpuan utama hari ini pula terarah kepada sukan muay apabila enam wakil negara akan turun berentap pada saingan akhir termasuk Yan Jia Chi atau lebih dikenali Angie yang merupakan pemenang pingat emas Kejohanan Dunia Senior Bawah 23 Tahun (U23) Persekutuan Muay Thai Antarabangsa (IFMA) sebanyak tiga kali bermula 2023.
Angie akan beraksi dalam acara waikru individu wanita dan Malaysia akan turut diwakili Muhammad Mikhail Ghazali, adik jaguh Muay Thai negara Johan Ghazali yang akan berdepan wakil tuan rumah Suphakon Sirilun dalam kategori featherweight 57 kilogram (kg) di Stadium Tinju Lumpini.
Pasukan bola jaring juga dijadual menentang musuh tradisi Singapura dalam usaha memburu hatrik emas selepas kali terakhir dimenangi pada edisi 2019 di Filipina. Sukan bola jaring tidak dipertandingkan pada edisi 2021 dan 2023.
Sementara itu, Malaysia menambah koleksi empat pingat emas semalam bermula dengan Megan Min Ern Ding daripada sukan ekuestrian, penembak Ong Chee Keng, gandingan boling lelaki Muhammad Rafiq Ismail-Muhammad Syazirol Shamsudin dan jaguh lempar cakera Muhammad Irfan Shamsuddin.
Muhammad Irfan mencuri tumpuan apabila mempertahankan emas yang diraihnya sejak edisi 2013 di Myanmar selain memecahkan rekod temasya 59.50 meter (m) yang bertahan selama 26 tahun, dicipta Wong Tuck Yim dari Singapura pada edisi 1999 di Brunei.
Dalam saingan semalam, lemparan sejauh 60.23m pada percubaan kedua sudah memadai baginya mengumpul emas ketujuh peribadi pada Sukan SEA pada hari terakhir aksi olahraga di Stadium Suphachalasai.
Chee Keng yang juga penembak berpengalaman mencipta sejarah apabila menamatkan kemarau 32 tahun Malaysia untuk meraih emas dalam acara trap individu lelaki di Lapang Sasar Menembak Photharam, Ratchaburi.
Atlet kelahiran Sarawak berusia 44 tahun itu membidik 39 mata dalam final enam peserta, sekali gus membawa pulang emas pertama negara dalam acara itu sejak Heng Chai Yee mencatat kejayaan sama pada edisi 1993 di Singapura.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


