Sukan SEA: Malaysia gagal ke akhir berpasukan wanita selepas tewas tipis kepada Indonesia

Pasangan Pearly Tan-M. Thinaah menyumbang mata selepas menewaskan gandingan Rachel Allessya Rose-Febi Setianingrum dengan kemenangan 21-14, 17-21, 21-16. - Foto Bernama
BANGKOK: Malaysia hampir menamatkan penantian lapan tahun untuk mara ke akhir badminton berpasukan wanita sebelum tewas 2-3 kepada Indonesia pada aksi separuh akhir Sukan SEA 2025 di Pathum Thani, Thailand hari ini.
Ringkasan AI
- Malaysia hampir menamatkan penantian lapan tahun untuk mara ke akhir badminton berpasukan wanita sebelum tewas kepada Indonesia dalam Sukan SEA 2025.
- Prestasi cemerlang pemain Indonesia, Mutiara Ayu Puspitasari, menewaskan Siti Zulaikha Muhammad Azmi dalam perlawanan penentuan, menyebabkan Malaysia kalah 2-3 kepada Indonesia.
- Walaupun kekalahan itu, Malaysia berjaya meraih pingat gangsa secara tidak rasmi dengan Singapura dalam acara beregu wanita di Sukan SEA Thailand 2025.
"Saya rasa fokus Siti Zulaikha sedikit menurun (selepas rehat) dan beliau tidak dapat mengekalkan kekuatan tangan untuk mengembalikan bulu tangkis," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.
Malaysia sebelum itu bermula perlahan apabila pemain perseorangan pertama, K. Letshanaa tewas kepada Putri Kusuma Wardani yang menghadiahkan mata pembukaan kepada Indonesia dengan kemenangan bergaya 21-9, 21-10 dalam tempoh 34 minit.
Skuad negara kembali menyamakan kedudukan menerusi beregu nombor dua dunia Pearly Tan-M. Thinaah yang menewaskan gandingan ranking ke-58 dunia Rachel Allessya Rose-Febi Setianingrum dengan kemenangan 21-14, 17-21, 21-16.
Pemain perseorangan kedua negara yang berada di ranking ke-44 dunia Wong Ling Ching mencatatkan kejutan terbesar menumpaskan pemain nombor 10 dunia Gregoria Mariska Tunjung 22-20, 15-21, 21-16 dalam pertarungan selama 66 minit sekali gus menjadikan kedudukan 2-1.
Ling Ching yang mengalami selesema sejak beberapa hari lepas, mengakui tidak menjangkakan keputusan itu dalam pertemuan pertama mereka.
"Saya tahu dia pemain yang baik dan berpengalaman, malah saya jangka akan kalah, tetapi pada akhirnya gembira kerana kemenangan berpihak kepada saya," katanya.
Bagaimanapun, Indonesia memaksa aksi ditentukan dalam perlawanan penentuan apabila pasangan nombor 59 dunia Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari menewaskan kombinasi sementara Go Pei Kee-Toh Ee Wei dengan keputusan 21-10, 21-9 sebelum Mutiara mengesahkan kemenangan keseluruhan.
Indonesia akan berdepan juara bertahan Thailand di perlawanan akhir untuk edisi keempat berturut-turut selepas tuan rumah menumpaskan Singapura 3-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Keputusan hari ini bermakna Malaysia secara tidak rasmi berkongsi pingat gangsa dengan Singapura dalam acara beregu wanita.
Sukan SEA Thailand 2025 berlangsung secara rasmi dari 9 hingga 20 Dis di dua wilayah, iaitu Bangkok dan Chonburi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


