Sukan SEA: Peluang balas dendam, akhiri kemarau dua dekad emas berpasukan lelaki

Tonggak kekuatan Malaysia sudah semestinya terletak di bahu juara dunia beregu lelaki 2022 dan pasangan kedua dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik. - Gambar fail/Bernama
BANGKOK: Misi skuad badminton negara menyambar satu daripada empat emas disasarkan pada Sukan SEA 2025 terbentang luas apabila Malaysia melangkah ke perlawanan akhir berpasukan lelaki menentang musuh tradisi Indonesia esok.
Ringkasan AI
- Malaysia menyasarkan emas dalam perlawanan akhir badminton beregu lelaki menentang Indonesia pada Sukan SEA 2025 untuk membalas dendam kekalahan sebelum ini di edisi lepas di Kemboja.
- Pasukan Malaysia bergantung kepada juara dunia beregu lelaki 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, untuk meraih kemenangan, tetapi mereka perlu berwaspada dengan pasangan Indonesia yang telah menewaskan mereka sebelum ini.
- Selain itu, pemain Malaysia seperti Leong Jun Hao dan Justin Hoh turut diharapkan untuk menyumbang mata penting dalam aksi final, manakala Aidil Sholeh Ali Sadikin masih menjadi 'misteri' sama ada akan beraksi.
Di sebalik kelebihan dimiliki skuad negara bagi saingan beregu lelaki, ancaman tetap menanti mereka yang harus berwaspada dengan kelibat sandaran utama lawan dan pasangan kelapan dunia Sabar Karyaman Gutama yang memiliki rekod baik ke atas Aaron-Wooi Yik (2-1) dan Wei Chong-Kai Wun (3-1) setakat ini.
Persembahan kedua-dua pasangan negara pada Sukan SEA kali ini juga dilihat kurang menjadi ketika menumpaskan lawan masing-masing pada aksi separuh akhir menentang Thailand, yang menyaksikan Malaysia mara ke final dengan keputusan 3-1 semalam.
Aaron-Wooi Yik menumpaskan Supak Jomkoh-Peeratchai Sukphun 21-18, 21-19 manakala Wei Chong-Kai Wun diheret sehingga ke set penentuan sebelum mengatasi Dechapol Puavarnukroh-Pakkapon Teeraratsakul 21-14, 18-21, 21-17.
Ketua jurulatih beregu lelaki negara Herry Iman Pierngadi mengakui Aaron-Wooi Yik masih belum mencapai tahap permainan sebenar mereka memandangkan ini kali pertama mereka turun ke gelanggang dalam masa sebulan selepas berehat daripada mana-mana pertandingan sebelum ini.
Beliau juga mahu Wei Chong-Kai Wun agar lebih tenang di final esok dan tidak terlalu tergopoh-gopoh mendapatkan mata sehingga menyaksikan Dechapol-Pakkapon memaksa mereka beraksi pada set penentuan.
Menyedari tugas sulit berdepan negara kelahirannya esok, Herry berkata kekuatan Indonesia juga dilihat sama rata baik daripada kem perseorangan mahupun beregu.
"Namun dalam pertandingan apa-apa pun boleh terjadi kerana negara yang menjadi pilihan (Indonesia) memiliki sedikit tekanan," katanya.
Kem perseorangan lelaki negara berdepan tugas berat dalam menyumbang mata buat negara lebih-lebih lagi prestasi hambar harapan utama Leong Jun Hao sepanjang musim ini termasuk tumpas 15-21, 15-21 kepada juara dunia 2023 Kunlavut Vitidsarn dari Thailand semalam.
Seandainya tiada perubahan daripada kedua-dua pasukan esok, Jun Hao dijangka membuka aksi final menentang pemain perseorangan lelaki utama Indonesia Alwi Farhan, yang memiliki kelebihan menang 21-19, 26-24 ke atas wakil negara dalam pertemuan sulung mereka pada Terbuka Korea 2025, Sept lepas.
Momentum baik Justin Hoh yang tidak menghampakan setiap kali diturunkan pada Sukan SEA kali ini diharapkan dapat diteruskan dan tahap prestasi pemain profesional yang dijangka menjadi wakil ketiga Aidil Sholeh Ali Sadikin pula masih 'misteri' memandangkan beliau belum beraksi pada Sukan SEA kali ini.
Pengarah jurulatih perseorangan lelaki negara Kenneth Jonassen pula berharap anak buahnya mempamerkan usaha jitu dan berjuang habis-habisan demi mencapai kejayaan esok.
"Ia akan menjadi ujian sebenar pada banyak peringkat untuk pemain perseorangan dan pasukan kami secara amnya," katanya kepada Bernama.
Sukan SEA 2025 di Thailand dibuka secara rasmi di Stadium Nasional Rajamangala hari ini dan berakhir pada 20 Dis ini melibatkan dua wilayah iaitu Bangkok dan Chonburi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


