Skuad hoki wanita negara berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya mempertahankan pingat emas dengan menewaskan Thailand 6-1 pada final Sukan SEA, Myanmar ke-27 di Stadium Hoki Theinphyu di sini.

Pada perlawanan akhir hari ini, skuad bimbingan jurulatih Mohd Nasihin Nublin Ibrahim cemerlang dengan rekod perlawanan tanpa kalah apabila Nuraini Abdul Rashid menjaringkan gol pertama menerusi pukulan sudut penalti seawal minit keempat perlawanan.

Separuh masa pertama menyaksikan pasukan Thailand terus memberi tentangan sengit kepada pasukan negara namun Juliani Mohamad Din berhasil menyempurnakan pukulan sudut penalti dengan gol kedua pada minit ke-28.

Babak kedua perlawanan, skuad negara terus memberikan aksi bertenaga apabila kapten pasukan Nadia Abdul Rahman cemerlang menjaringkan gol ketiga menerusi jaringan padang pada minit ke-38.

Skuad negara terus memberikan tekanan kepada pasukan lawan apabila Raja Norsharina Raja Shahbudin menjaringakan gol keempat pada minit ke-52, seminit kemudian Nurul Nabila Mansur menambah gol kelima buat negara menerusi jaringan padang.

Fazillah Sylbester Silin mengesahkan kemenangan pasukan negara dengan jaringan keenam menerusi gol padang pada minit ke-67.

Thailand yang meraih pingat perak memperoleh gol tunggal menerusi jaringan pukulan sudut penalti oleh Suratwadee Pimsan pada minit ke-70.

Pingat gangsa diraih pasukan tuan rumah, Myanmar selepas menewaskan Singapura 1-0 dalam satu lagi perlawanan penentuan pingat hari ini.

Mohd Nasihin ketika ditemui pemberita berkata beliau berbangga dengan kesungguhan pasukan negara bagi memastikan kecemerlangan sukan hoki negara di peringkat Asia Tenggara.

"Kejayaan ini merupakan pingat emas pertama buat saya sebagai jurulatih di Sukan SEA. Saya amat gembira kerana daripada mula perlawanan berlangsung pasukan negara mencipta sejarah dunia dengan menjaringkan 36 gol ketika menentang Kemboja pada perlawanan pusingan awal.

"Pemain saya hari ini bermain bermati-matian, saya amat menghargai kesungguhan mereka di sini. Thailand bermain dengan bagus, pertahanan mereka menyukarkan skuad negara untuk memberi serangan. Bagi saya perlawanan sebegini bagus untuk sukan hoki di peringkat Asia Tenggara," katanya.