Pengendali Skuad B-23 tahun kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee terus menimpa tamparan menjelang saingan Sukan SEA Myanmar Disember ini, apabila pemain sayapnya, sayapnya Syahrul Azwari Ibrahim mengalami kecederaan lutut pada Rabu di Phnom Penh.

Sebelum ini, Kim Swee sudah pun kehilangan kelibat pemain sayap FC Ryuku, Wan Zack Haikal Wan Nor dan jika Syahrul sah tersisih, ia pasti mengurangkan pilihan di bahagian sayap buat pengendali kelahiran Melaka ini.

Menurut Kim Swee, kecederaan lutut yang dialami Syahrul agak serius dan memerlukan pemeriksaan lanjut di Malaysia.

Bagaimanapun Kim Swee enggan terlalu awal membuat keputusan mengenai peluang pemain kelahiran Kelantan ini beraksi di Myanmar.

"Syarul mengalami kecederaan di bahagian lutut yang nampak agak serius.

"Apa yang perlu dilakukan kini, adalah untuk menghantar Shahrul pulang ke Malaysia secepat mungkin untuk dirawat oleh pakar-pakar kita di Kuala Lumpur, sebelum saya buat keputusan dia boleh beraksi atau tidak di Sukan SEA, kata Kim Swee ketika ditemui Astro Arena di Phnom Penh.

Bagi Syarul, dia mengakui berasa terkilan dengan kecederaan yang dialaminya ketika debaran untuk misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA kian memuncak.

"Memang kecewa sangat kerana dah berusaha keras dalam latihan untuk memastikan tempat ke Sukan SEA.

"Mungkin bukan rezeki saya untuk beraksi tahun ini, kalau sempat pulih alhamdullilah.

"Tetapi kalau tak dapat beraksi, saya tetap mendoakan kejayaan pasukan negara untuk mempertahankan pingat emas," kata Syahrul.