Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) mengambil keputusan untuk mengekalkan atlet karate negara, Syakilla Salni Jefry Krishnan dalam skuad Sukan Asia Indonesia, namun dikenakan empat hukuman.

Setiausaha Agung Makaf, Vincent Chen berkata pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 dan Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan itu bersetuju dengan syarat-syarat ditetapkan untuk terus berada dalam skuad negara.

Makaf sebelum ini, menyatakan hasrat untuk menggugurkan atlet berusia 26 tahun itu kerana masalah disiplin termasuk gagal mengekalkan berat badan selepas tidak dibenarkan menyertai Kejohanan Asia di Amman, Jordan minggu lalu, apabila berat badan beliau melebihi berat maksimum bagi kategori 55kg.

Vincent berkata selepas berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN), Syakilla Salni yang sebelum ini dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang pada Sukan Asia 2018, akan berada di bawah pengawasan ketat ISN serta Makaf, dan atlet itu perlu menimbang berat badan dua kali sehari.

Makaf juga meletakkan syarat akan memegang 50 peratus elaunnya sehingga Sukan Asia, selain melarang bekas atlet karate nombor satu dunia bagi kategori 55kg itu daripada aktif menggunakan media sosial.

"Beliau boleh melihat kemas kini dan entri orang lain, tetapi tidak boleh keluarkan apa-apa entri dalam akaun beliau. Hukuman keempat ialah beliau perlu membersihkan venue latihan di atas kesalahan beliau itu, tetapi beliau bukan atlet pertama yang menerima hukuman ini.

"Disiplin merupakan perkara sangat penting kepada atlet karate, lebih-lebih lagi atlet elit. Makaf tidak akan berkompromi dengan masalah disiplin. Kami tidak mahu wujud situasi di mana pembawa bendera negara tidak dibenarkan beraksi oleh pihak penganjur kerana berat badan melebihi had," katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, Ketua Kontinjen negara (CDM), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata Syakilla Salni akan terus menjadi pembawa Jalur Gemilang pada temasya sukan empat tahun sekali itu, yang dijadual berlangsung dari 18 Ogos hingga 2 Sept ini.

"Kalau Syakilla Salni digugurkan, baru kena cari pembawa bendera baharu, tetapi beliau masih dalam kontinjen, akan terus menjadi pembawa bendera. Saya berharap beliau akan memberi yang terbaik dari segi prestasi dan menang sepertimana dijangkakan pihak kami dan seperti diharapkan rakyat Malaysia.

"Kita harap isu-isu disiplin kecil ini tidak menjadi satu benda yang boleh menurunkan semangat juang beliau. Harap Syakilla boleh mengatasi semua masalah dihadapinya," kata beliau pada sidang media selepas bertemu wakil daripada sukan papan selaju, tinju dan triathlon di Wisma OCM, hari ini.

-- BERNAMA