JAGUH bina badan negara, Syarul Azman Mahen Abdullah enggan panik dengan situasi yang menlanda dirinya malah kekal tenang mengatur perancangan menjelang tiga kejohanan utama hujung tahun ini di sebalik hilang tempat untuk berlatih ekoran penutupan pusat gimnasium sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun atlet berusia 48 tahun itu mengguna penggalamannya untuk kekal disiplin dan memantau kualiti ototnya tanpa memasuki gelembung sukan.

Keputusannya untuk tidak berada di dalam gelembung sukan buat masa ini merupakan percaturan paling berani dalam kariernya.

Pemilik gelaran Mr Asia lima kali itu mempunyai perancangan dan cara tersendiri pada ketika fokusnya terarah kepada Kejohanan Asia September ini, disusuli Sukan SEA dan Kejohanan Dunia Disember kelak.

Justeru juara dunia empat kali berturut-turut itu sudah mahir untuk mengekalkan prestasi terbaiknya khususnya dalam kejohanan nanti.

"Mentaliti saya sangat baik jadi saya mampu membuat persiapan bagi menghadapi kejohanan. Jaga pemakanan, berlatih dengan bijak dan pengalaman bakal menjadi kelebihan bagi saya," kata Syarul.

Antara kunci kejayaannya di peringkat antarabangsa merupakan sentiasa melakukan latihan berintensiti tinggi dengan pelbagai cara demi mengekalkan kualiti ototnya.

Syarul turut berkongsi keutamaannya selain daripada terarah kepada latihan di gimnasium sebelum ini, disiplin pemakanan juga merupakan aspek penting demi untuk menonjolkan otot ketika berada di atas pentas.