Kehadiran ratusan penyokong Malaysia di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta nyata tidak disenangi segelintir penyokong skuad Garuda apabila disambut dengan balingan batu dan teriakan provokasi.

Menerusi paparan video yang tular di media sosial, beberapa peminat Malaysia yang sudah berada di stadium berkenaan mendakwa mereka dibaling dengan objek keras.

Selepas siri serangan tersebut yang berlaku sebelum perlawanan, terbaharu Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan turut berdepan detik cemas ketika menyaksikan perlawanan antara skuad Harimau Malaya dan Indonesia.

“Sebentar tadi saya bersama penyokong-penyokong Harimau Malaya menyaksikan Kelayakan Piala Dunia di Stadium Gelora Bung Karno. Objek besi, botol dan suar dicampak kepada kami beberapa kali.

“Terdapat juga beberapa penyokong Indonesia juga cuba merempuh kawasan penyokong Malaysia dan perlawanan terpaksa dihentikan seketika,” demikian katanya menerusi entri di laman Twitter, malam ini.

BACA: Garuda 'dibaham' Harimau Malaya: INA 2-3 MAS

Jelas beliau, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan membuat aduan rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung insiden tersebut.

“Saya juga akan membuat laporan rasmi kepada kerajaan Indonesia dan rakan sejawatan saya di sana.

“Gangsterism tidak akan ditolak ansur dalam apa jua cara. Keselamatan pemain dan penyokong Malaysia adalah keutamaan saya.

“Ketika ini saya masih lagi bersama-sama dengan penyokong Malaysia ditempatkan di dalam stadium sementara menanti keadaan di luar reda sebelum kami boleh pulang.

“Kejadian ini amat menyedihkan buat industri sukan bola sepak yang sepatutnya menjadi medium penyatuan. Saya berjanji akan menuntut keadilan bagi rakyat Malaysia,” tegasnya.


Bagaimanapun, media melaporkan kawalan ketat keselamatan yang ketat daripada pihak berkuasa telah berjaya mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Setakat ini, tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

BACA: Penyokong Harimau Malaya 'mandi hujan batu' di Indonesia