Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) bercadang mendapatkan khidmat dua jurulatih dari China untuk melatih para perenang dan penerjun negeri, kata Timbalan Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu.

Beliau berkata setakat ini pihaknya masih dalam proses berurusan dengan pihak di sana untuk tujuan tersebut.

"Kita perlukan seorang jurulatih renang dan seorang jurulatih terjun secepat mungkin," katanya kepada Bernama selepas majlis penyampaian hadiah kejohanan renang antara kelab-kelab seluruh Malaysia di sini hari ini.

Ibni Amin berkata pengambilan jurulatih China bertujuan untuk membentuk pasukan renang Terengganu secara bersistematik dan teratur selain membantu program pembangunan renangnya.

Pihak China akan menyediakan kumpulan jurulatihnya untuk dinilai dan dipilih oleh MSNT dalam masa terdekat, katanya.

Beliau berkata China dilihat mempunyai jurulatih berwibawa dalam sukan renang yang telah ramai melahirkan atlet renang dan terjun di peringkat antarabangsa.

Tambahan pula pasukan akuatik Terengganu sekarang ini ketiadaan jurulatih apabila bekas jurulatih kebangsaan Foo Yoke Meng akan eletak jawatan berkuat kuasa akhir bulan ini, katanya.

"Foo berkhidmat di negeri ini selama 20 bulan," tambahnya