BEIJING: Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, Thomas Bach berkata, temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 bakal menjadi wadah untuk menyatupadukan dunia.

"Objektif itu mampu dicapai menerusi dorongan semangat damai, bersepadu, dan bersahabat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan tahniah sempena Pameran Perdagangan Perkhidmatan Antarabangsa China (CIFTIS) 2021, Ekspo Sukan Musim Sejuk Antarabangsa 2021, bertempat di Taman Shougang.

Pada ekspo itu, lebih 260 peserta dari dalam dan luar China telah mengadakan perbincangan secara hibrid mengenai perkembangan industri ais dan ski sejagat.

Antara topik yang dibincangkan termasuk panduan dasar, dorongan sains dan teknologi serta inovasi model.

Selain itu, peserta turut menzahirkan harapan besar terhadap temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing dan perkembangan sukan ais dan salji China.

Menerusi penganjuran temasya itu, Beijing akan membuka lembaran baharu sejarah sukan dunia dengan menjadi bandar pertama sebagai penganjur Sukan Olimpik Musim Panas dan Sejuk.

Sementara itu, Juan Antonio Samaranch Jr. merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 Beijing berkata, meskipun sedang berdepan wabak COVID-19, pihak penganjur berjaya mengatasi pelbagai kekangan.

"Penganjuran Sukan Olimpik bukan sahaja telah mendorong pembangunan infrastruktur di bandar Beijing, tetapi turut mengintensifkan pembangunan ekonomi dan tahap kehidupan rakyat.

"Selain itu, sekitar 300 juta rakyat China juga telah menyertai sukan ais dan salji," ujar Samaranch Jr. dalam ucapannya menerusi rakaman video.

Dalam pada itu, Naib Pengerusi Sukan Olimpik Musim Sejuk dan Sukan Paralimpik Musim Sejuk 2022 Beijing, Han Zirong menyatakan bahawa pihaknya berkeyakinan untuk menjayakan temasya sukan kali ini.

"Semua pihak diharap menggunakan kesempatan menerusi ekspo ini untuk mempopularkan sukan musim sejuk, sekali gus menyumbang kepada perkembangan industri ais dan salji sejagat," katanya.

-- BERNAMA