NOVAK DJOKOVIC meraih kemenangan dalam aksi Jelajah ATP pertamaya sejak dibatalkan penyertaan daripada Kejohanan Tenis Terbuka Australia, kali ini dengan menewaskan Lorenzo Musetti dalam pusingan 32 Kejohanan Tenis Dubai awal pagi tadi.

Pemain nombor satu dunia itu tidak pernah beraksi secara kompetitif sejak awal Disember lalu dan dihalau keluar dari Australia sehari sebelum kejohanan grand slam itu.

Ia gara-gara keengganan Djokovic mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 selain kontroversinya daripada mengelakkan dirinya dijangkiti virus itu pada Disember lalu.

Perlawanan tadi menyaksikan Djokovic menang mudah 6-3, 6-3 ke atas Musetti dengan merekodkan lima ace, memenangi 71 peratus mata daripada servis keduanya (17 daripada 24) dan menyelamatkan tujuh mata break yang dihadapinya daripada lawan dari Itali itu.

Djokovic seterusnya akan menghadapi sama ada Karen Khachanov atau Alex de Minaur bagi penentuan ke suku akhir.