BEREGU lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan wakil tuan rumah, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmusen, dalam separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Denmark BWF di Odense awal pagi tadi.

Turun selaku pilihan kelima, gandingan negara itu dikejutkan lawan pilihan ketujuh berkenaan apabila tewas 16-21 dalam set pertama.

Bagaimanapun, rentak sebenar mula dipamerkan Aaron dan Wooi Yik dalam set berikutnya, di mana mereka menguasai penuh perlawanan sebelum mencatatkan kemenangan 21-15.

Cabaran dalam set penentuan jelas lebih mudah buat beregu negara itu, di mana mereka tidak pernah ketinggalan sejak meraih mata pertama sebelum sekali lagi mencatatkan kemenangan 12-15 selepas secara keseluruhan bertarung selama 56 minit.

Menanti mereka dalam perlawanan penentuan gelaran malam ini adalah beregu pilihan keenam dari Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana.