KUALA LUMPUR: Pasangan beregu wanita badminton nombor satu negara Pearly Tan-M. Thinaah, menarik diri daripada menyertai Terbuka Indonesia 2023 yang dijadualkan bermula esok sehingga 18 Jun di Jakarta.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan bahawa, juara Terbuka Perancis 2022 itu menarik diri daripada acara Super 1000 tersebut, disebabkan kecederaan yang dialami Pearly di Terbuka Singapura, minggu lepas.

"Pearly cedera di sikunya pada Terbuka Singgapura minggu lepas. Dengan Pearly yang belum sembuh 100 peratus, pasukan kejurulatihan membuat keputusan untuk tidak mengambil risiko yang tidak perlu, dengan tidak membenarkan beliau bertanding," menurut kenyataan itu.

Pada 7 Jun, Pearly-Thinaah menarik diri pada perlawanan pusingan pembukaan menentang pasangan Jepun Rin Iwanaga-Kie Nakanishi pada set ketiga, disebabkan kecederaan Pearly pada ketika pasangan Jepun itu mendahului 16-9.

Pearly-Thinaah tewas set pertama 13-21 namun pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2022 itu kembali untuk menang set kedua, 21-17.

-- BERNAMA