TFC digesa bangkit daripada kekecewaan Piala FA menjelang aksi liga menentang JDT

Badrul Afzan (gambar) berkata beliau percaya TFC mampu mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata menentang JDT dalam aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam esok. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA NERUS: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Badrul Afzan Razali berharap anak buahnya mampu bangkit daripada kekecewaan disingkirkan pada saingan Piala FA dengan mempamerkan aksi terbaik menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan Liga Super di sini malam esok.
Pengendali berusia 49 tahun itu mengakui kegagalan mara ke pentas separuh akhir Piala FA selepas tewas kepada Kuching City FC dengan agregat 5-3 sedikit sebanyak memberi kesan kepada semangat dan motivasi pemain.
"Sudah tentu ada sedikit kekecewaan, tetapi saya lihat pemain mampu cepat bangkit dan menunjukkan semangat positif dalam sesi latihan.
"Lupakan kekalahan lalu, beri tumpuan sepenuhnya kepada baki saingan dan pemain perlu sedar setiap perlawanan amat penting untuk kita berada pada kedudukan tiga terbaik Liga Super," katanya ketika dihubungi hari ini.
Badrul Afzan berkata beliau percaya skuad Penyu mampu mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata menentang JDT dalam aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), di sini dengan anak buahnya diingatkan tidak terlalu memikirkan reputasi lawan kerana dikhuatiri akan menjejaskan rentak permainan.
Beliau berkata TFC juga perlu bermain sebagai satu unit dengan mengekalkan disiplin sepanjang 90 minit perlawanan termasuk meningkatkan aspek komunikasi bagi mengelak sebarang kesilapan.
Sementara itu, Badrul Afzan berkata semua pemain dalam keadaan baik kecuali penyerang import Yan Mabella, Muhammad Akram Mahinan dan penjaga gol Muhammad Rahadiazli Rahalim yang masih dalam proses pemulihan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


