KUALA NERUS: Spekulasi mengenai kemasukan bekas penyerang import Kelantan FC, Ismaheel Akinade ke skuad Penyu akhirnya menjadi kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB), Mohd Sabri Abas berkata pemain berusia 30 tahun itu telah menandatangani kontrak selama semusim dengan TFC hari ini.

Beliau berkata kehadiran tonggak import kelahiran Nigeria itu diharap dapat menajamkan jentera serangan TFC yang menurutnya agak bermasalah musim lepas.

"Akinade yang mengisi kuota import bebas menjadi pilihan ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner untuk berada di jentera serangan TFC musim ini.

Kita harap kehadirannya dapat memperkemas jentera serangan TFC sekali gus mencipta kejayaan lebih cemerlang untuk TFC pada musim ini berbanding tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum menyertai Liga Malaysia, Akinade yang berketinggian 1.9 meter itu terlebih dahulu beraksi di kelab bolasepak Vietnam iaitu Ho Chi Minh City FC, SHB Da Nang dan Honginh Ha Tinh.

Beliau kemudiannya menyertai Kelantan FC pada jendela kedua perpindahan musim lepas dan berjaya meledak tujuh gol dalam 16 penampilannya bersama pasukan itu.

Mohd Sabri sebelum ini mengumumkan bahawa Skuad Penyu hanya akan menggunakan khidmat enam tonggak import musim ini atas faktor penjimatan dan kekangan kewangan.

Tiga import musim lalu yang dikekalkan ialah pemain tengah, Nurillo Tukhtasinov; Ivan Mamut (penyerang) dan Argzim Redzovic (pertahanan).

-- BERNAMA