PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menolak dakwaan kononnya wujud campur tangan pihak ketiga, entiti atau kemelut dalaman sehingga menyebabkan skuad terjun negara gagal di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, minggu lalu.

Sebaliknya, beliau berkata komunikasi antara atlet, jurulatih dan Persekutuan Renang Malaysia (MAS) perlu dipertingkatkan bagi mengelak isu kegagalan di Doha berulang.

Katanya, beliau berpuas hati dengan penjelasan daripada ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri mengenai keadaan penerjun di Doha dalam satu sesi pertemuan semalam.

Kegagalan penerjun negara layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha bukan disebabkan campur tangan pihak ketiga, entiti atau kemelut dalaman tetapi aspek komunikasi.

"Selepas ini saya akan jumpa pula dengan persatuan(MAS) dan jurulatih untuk dengar jawapan dan pandangan mereka mengapa semua penerjun (di Kejohanan Akuatik Dunia) tidak layak ke Paris (Sukan Olimpik 2024)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Cabaran Lompat Tinggi 'Leap To The Stars' 2024 di sini, hari ini.

Kegagalan penerjun negara di Doha itu, menjadikan penerjun lelaki, Bertrand Rhodict Lises wakil terjun tunggal negara yang berjaya menempah tiket ke Paris menerusi acara 10 meter (m) platform individu ketika beraksi di Kejohanan Akuatik Dunia di Fukuoka, Jepun, tahun lalu.

Dalam pada itu, Hannah berkata kedudukan Pandelela dan Nur Dhabitah dalam program Road To Gold (RTG) selepas gagal ke Paris 2024 perlu dibuat secara kolektif bersama jawatankuasa RTG yang dijangka diketahui bulan ini.

Beliau pada masa sama mengagumi komitmen Pandelela dan Nur Dhabitah yang tetap tidak berputus asa untuk terus mewakili negara biarpun tidak berpeluang menjejakkan kaki ke Paris 2024.

Dalam perkembangan lain, Hannah berkata kementeriannya memberi peruntukan sebanyak RM30,000 kepada penganjur Cabaran Lompat Tinggi 'Leap To The Stars' 2024 iaitu Kelab Olahraga Shah Alam bagi meneruskan usaha mencungkil bakat peserta lompat tinggi negara.

Beliau turut memuji usaha dilakukan Kelab Olahraga Shah Alam yang berurusan dengan pihak pusat membeli belah 1 Utama bagi menganjurkan kejohanan tersebut di lokasi tumpuan ramai sekali gus mampu menarik minat generasi muda untuk menjadi atlet lompat tinggi pada masa depan.

-- BERNAMA