JOHOR BAHRU: Pemain tengah, Muhamad Nor Azam Abdul Azih, tidak berdepan masalah untuk memberikan persembahan terbaik jika diturunkan untuk perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Hong Kong di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Selasa ini.

Walaupun masih dibelenggu rasa sakit susulan kecederaan lutut yang dialami sebelum ini, pemain Sri Pahang berusia 28 tahun itu, berkata situasi tersebut langsung tidak menjejaskan tahap kecergasannya bersama skuad Harimau Malaya.

Katanya, beliau berlatih dan bermain bersama Sri Pahang musim ini seperti biasa tanpa menghiraukan rasa sakit dan merancang melakukan yang sama untuk membantu skuad bimbingan Kim Pan Gon meraih kemenangan ke atas Hong Kong.

"Keadaan saya baik cuma rasa sakit-sakit (tidak selesa) tetapi boleh bermain sebab saya (sudah) terapkan keberanian itu di Pahang iaitu bermain tanpa rasa takut.

"Kesakitan yang saya rasa sekarang memang tak macam dulu, sekarang lebih baik dan saya lebihkan latihan di gim untuk proses pemulihan dan hilangkan rasa sakit," katanya ketika ditemui di hotel pasukan di sini, hari ini.

Pada masa sama, Muhamad Nor Azam mengakui prestasinya semakin meningkat sejak menjalani latihan bersama pasukan negara.

Kali terakhir Muhamad Nor Azam menyarung jersi pasukan negara ialah ketika Malaysia menewaskan Thailand menerusi penentuan penalti pada kejohanan Piala Raja Thailand, September lalu, namun beliau dilayangkan kad merah pada aksi tersebut.

Beliau yang sebelum ini menjadi antara pemain yang sering membarisi kesebelasan utama pasukan, turut berada dalam skuad yang mencipta sejarah layak ke Piala Asia 2023 pada Jun tahun lepas.

Sementara itu, beliau berkata kehadiran pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam kem latihan pusat di sini kali ini menambah semangat pasukan.

"Mereka sudah bermain di peringkat lebih tinggi dan mampu bantu pemain lain untuk beraksi lebih baik, apabila masuk dalam pasukan negara kita kena bersatu hati," katanya.

-- BERNAMA