KUALA LUMPUR: Pemain pertahanan Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni berdepan hukuman denda RM25,000 kerana tidak menyertai sesi latihan Harimau Malaya pada Jumaat lepas.

Pemain Terengganu itu didakwa tidak melaporkan diri ketika sesi latihan skuad kebangsaan kerana turun ke laut.

Skuad kebangsaan pula berlepas ke Jordan bagi menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Jordan pada Sabtu.

"Selain daripada denda, Shahrul mungkin tidak akan dibenarkan sertai semua aktiviti bola sepak," kata seorang pegawai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) seperti dipetik NST pada Ahad.

BACA: Shahrul Nizam sudah tahu dalam senarai menunggu Harimau Malaya, kata Cheng Hoe

BACA: Pertahanan TFC terlepas aksi antarabangsa kerana turun ke laut

Sementara itu 22 pemain skuad negara telah tiba di Amman bagi menghadapi aksi persahabatan menentang Jordan pada 6 Oktober dan Uzbekistan pada 9 Oktober ini.

Pasukan negara melakukan sesi latihan pertama di Amman semalam.

"Walaupun berdepan perjalanan yang agak jauh ke Jordan, pemain negara lakukan yang terbaik semasa sesi latihan.

"Mereka sangat teruja," kata jurulatih kebangsaan Cheng Hoe pada Ahad.

Cheng Hoe menggunakan aksi persahabatan ini sebagai 'pemanas badan' bagi bersediaan skuad negara hadapi saingan Piala AFF Disember ini selain pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 tahun depan.