Tiga mata berharga cerminan hasil kerja keras IFC - Yusri

Perlawanan malam tadi menyaksikan IFC mengakhiri penantian panjang apabila memperoleh tiga mata menerusi kemenangan 1-0 ke atas Penang FC. - Foto Harimau Malaya
GEORGE TOWN: Kejayaan Imigresen FC (IFC) mencatat kemenangan sulung liga musim ini nyata menjadi momen penuh emosi, khususnya buat ketua jurulatih pasukan itu Yusri Che Lah.
Yusri menyifatkan tiga mata berharga itu sebagai hasil kerja keras dan disiplin tinggi ditunjukkan para pemain, yang bukan sahaja beraksi cemerlang sejak wisel permulaan, tetapi turut menampilkan semangat juang serta ketahanan mental luar biasa untuk mengekalkan kelebihan hingga akhir perlawanan.
"Saya rasa penantian selama 95 minit hari ini cukup panjang. Selalunya perlawanan 90 minit itu pun sudah mendebarkan kerana kita sering berada dalam situasi mengejar jaringan, tetapi kali ini debarannya berbeza, kami berjuang untuk mengekalkan jaringan yang ada.
" ... apabila wisel penamat dibunyikan, kegembiraan jelas terpancar bukan hanya pada wajah pemain, tetapi keseluruhan pasukan," katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Bandaraya, di sini malam tadi.
Beliau berkata kemenangan itu juga lambang kebangkitan The Mighty Tigers selaku sebuah pasukan baharu yang sering kali berdepan dengan keputusan tidak memihak sejak awal musim.
Yusri berkata meskipun tanpa kelibat beberapa tonggak penting termasuk Amirali Chegini dan Nik Sharif Haseefy susulan masalah kecederaan, beliau memuji persembahan Mohd Loqman Hakim Marzuki yang kali pertama diturunkan di kesebelasan utama serta pemain gantian Abdul Hanafie Tokyo Abdul Hasim yang tampil beraksi cemerlang.
"Kita kini memiliki enam mata dan masih tidak jauh dengan pasukan lain. Tempoh rehat selama tiga minggu selepas ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memperkemas taktikal serta meningkatkan kecergasan pemain," katanya.
Sementara itu, pengendali Penang FC Wan Rohaimi Wan Ismail berkata kekalahan malam tadi sukar diterima apatah lagi beraksi di halaman sendiri dan mengakui anak buahnya tidak mempamerkan corak persembahan baik seperti pada empat perlawanan sebelumnya.
"Pemain mula panik apabila peluang demi peluang yang dicipta gagal disempurnakan. Mereka kemudian terlalu mendesak untuk menggerakkan bola ke hadapan," katanya.
Perlawanan malam tadi menyaksikan IFC mengakhiri penantian panjang apabila memperoleh tiga mata menerusi kemenangan 1-0, sekali gus melonjakkan kedudukan di tangga kelapan liga dengan enam mata daripada lapan perlawanan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


