KUALA LUMPUR: Peminat badminton tanah air berpeluang menonton Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 dari 15 hingga 20 Feb di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam dengan mendapatkan tiket secara percuma.

Bagaimanapun pihak penganjur dalam satu kenyataan semalam menyatakan, tiket-tiket percuma itu hanya boleh ditempah sehari sebelum perlawanan menerusi https://selangorbatc2022.com, dan disebabkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) ketat kerana peningkatan kes COVID-19, kehadiran penonton adalah terhad.

Menurut kenyataan penganjur, selepas berjaya membuat tempahan, e-tiket yang dihantar menerusi emel perlu dibawa bersama kad pengenalan atau pasport sebagai bukti, sebelum dibenarkan masuk bagi menyaksikan perlawanan pada kejohanan yang juga bertindak sebagai kelayakan Piala Thomas dan Uber 2022.

"Enam perlawanan akan dilangsungkan dalam dua sesi dan tempahan tiket pada sesi pagi serta petang akan dibuka pada hari sebelumnya mulai pukul 12 tengah hari dan ditutup pada pukul 11.59 malam.

"Penonton wajib mematuhi SOP yang ketat, iaitu memaparkan Sijil Vaksinasi Digital dalam MySejahtera, memakai pelitup muka dan mengekalkan jarak fizikal yang selamat sepanjang acara berlangsung.

Hanya penonton yang lengkap vaksinasi COVID-19 akan dipertimbangkan, manakala kanak-kanak di bawah 12 tahun tidak dibenarkan masuk," menurut kenyataan itu.

Bagi kategori lelaki, finalis edisi terdahulu Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Jepun, Singapura dan Kazakhstan, manakala Kumpulan B terdiri daripada juara bertahan Indonesia, Korea Selatan dan Hong Kong.

Bagi acara wanita, Jepun, India dan Malaysia diundi dalam Kumpulan Y, manakala Korea Selatan, Indonesia, Hong Kong dan Kazakhstan dalam Kumpulan Z.



Jadual Pasukan Malaysia

Lelaki:

--------

16 Feb - Malaysia vs Singapura (4 petang)

17 Feb - Malaysia vs Kazakhstan (4 petang)

18 Feb - Malaysia vs Jepun (4 petang)



Wanita:

---------

15 Feb - Malaysia vs India (4 petang)

16 Feb - Malaysia vs Jepun (4 petang)



-- BERNAMA