IPOH:Tunggakan gaji sebulan setengah pemain dan pegawai pasukan Perak FC akan diselesaikan selewat-lewatnya pada Selasa hadapan.

Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed berkata, kerajaan negeri telah berjaya mendapatkan sumbangan daripada beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut.

“Ini merupakan komitmen kerajaan negeri untuk menjaga kebajikan para pemain dan pegawai Perak FC,” katanya ketika ditemui selepas perjumpaan bersama Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad dan pengurusan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) di sini, hari ini.

Shahril berkata, pertemuan itu juga sebagai menzahirkan komitmen kerajaan negeri untuk terus membantu pasukan bola sepak negeri.

“Kita akan susun dari segi organisasi struktur di Perak FC untuk menguruskan pasukan kita dengan lebih baik lagi kerana kita juga ingin menyahut saranan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk kita perkemaskan lagi pengurusan bola sepak kita,” ujarnya.

Beliau menjelaskan penglibatan kerajaan negeri bukanlah untuk mempolitikkan sukan itu tetapi lebih kepada membantu pasukan negeri supaya lebih berjaya.

Pada masa sama, Shahril menyeru para peminat bola sepak Perak agar terus memberikan sokongan yang jitu kepada pasukan bola sepak mereka.

“Saya harap mereka jangan risau tentang perjalanan pasukan kita  kerana kita dah berjanji untuk membantu dan kita harap mereka dapat terus menerus memberi sokongan yang cukup padu daripada dulu sampai sekarang untuk pasukan kita,” kata beliau.