KUALA LUMPUR: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai venue berpusat untuk baki perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bagi pasukan Harimau Malaya.

AFC menerusi laman web memaklumkan bahawa venue bagi perlawanan kelayakan yang dijadualkan berlangsung antara 31 Mei dan 15 Jun itu dimuktamadkan selepas pihak konfederasi mengadakan perbincangan dengan persatuan anggota konfederasi yang terlibat.

"UAE dipilih sebagai tuan rumah untuk Kumpulan G, yang merangkumi pasukan Vietnam, Malaysia, Thailand, dan Indonesia," kata konfederasi itu.

Semalam AFC mengesahkan tarikh bagi baki perlawanan peringkat kumpulan, yang menyaksikan pasukan bola sepak kebangsaan di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe dijadualkan menghadapi UAE pada 3 Jun, peneraju kumpulan, Vietnam, pada 11 Jun, dan mengakhiri kempen peringkat kumpulan dengan menentang Thailand pada 15 Jun.

Selepas lima perlawanan di peringkat kelayakan, Malaysia mengumpul sembilan mata untuk berada di tempat kedua di belakang peneraju kumpulan Vietnam (11 mata), sementara Thailand berada di tempat ketiga dengan lapan mata, UAE (enam mata), dan Indonesia berada di tempat paling bawah tanpa sebarang mata.

Sementara itu, AFC berkata China akan menjadi tuan rumah Kumpulan A kelayakan yang merangkumi pasukan Syria, Filipina, Maldives, dan Guam, manakala perlawanan Kumpulan B yang merangkumi pasukan Australia, Jordan, Nepal, dan Taiwan akan dihoskan oleh Kuwait.

Bahrain menjadi tuan rumah untuk perlawanan Kumpulan C yang menampilkan pasukan Iraq, Iran, Hong Kong, dan Kemboja, manakala Arab Saudi dipilih sebagai tuan rumah perlawanan Kumpulan D yang terdiri daripada pasukan Uzbekistan, Singapura, Yaman, dan Palestin.

Hos Piala Dunia 2022 Qatar menjadi tuan rumah perlawanan Kumpulan E yang terdiri daripada pasukan Oman, Afghanistan, India, dan Bangladesh; manakala Jepun menjadi tuan rumah bagi perlawanan Kumpulan F yang mengandungi pasukan Kyrgyzstan, Tajikistan, Myanmar, dan Mongolia.

-- BERNAMA