United naik kedudukan keempat EPL, pintas Liverpool

Aksi Mbeumo (depan) meraikan bersama Benjamin Sesko selepas menjaringkan gol ketiga pasukannya ketika perlawanan EPL antara Manchester United dan Brighton & Hove Albion di Manchester, England, 25 Okt 2025. (Foto AP)
MANCHESTER United melonjak ke kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mencatat kemenangan 4-2 ke atas Brighton & Hove Albion pada Sabtu, manakala Sunderland pula naik ke tangga kedua hasil kemenangan mengejut 2-1 ke atas Chelsea.
United kini mula menunjukkan tanda-tanda konsistensi apabila jaringan Matheus Cunha, Casemiro dan dua gol daripada Bryan Mbeumo membantu mereka meraih kemenangan ketiga berturut-turut.
Sunderland meneruskan aksi cemerlang mereka selepas kembali ke liga utama England apabila berjaya mengejutkan Chelsea sementara gol saat akhir pemain Newcastle United, Bruno Guimaraes memastikan kemenangan 2-1 ke atas Fulham.
Di Old Trafford, Cunha membuka tirai jaringan pada minit ke-24 dengan rembatan cantik ke penjuru bawah gawang, sebelum Casemiro menggandakan kedudukan 10 minit kemudian menerusi percubaan yang terkena pemain lawan. Mbeumo kemudian menambah gol ketiga untuk meletakkan pasukan tuan rumah dalam kawalan penuh.
Danny Welbeck merapatkan jurang buat Brighton menerusi sepakan percuma sebelum tandukan Charalampos Kostoulas pada masa kecederaan menghadirkan detik cemas buat United.
Namun ketika Brighton melancarkan serangan habis-habisan untuk mencari gol penyamaan, Mbeumo menamatkan kebangkitan mereka dengan jaringan keempat United.
“Saya sangat menikmati masa saya di sini,” kata Mbeumo kepada Sky Sports.
“Ia bukan permulaan yang mudah, persekitaran baharu dan jangkaan tinggi, tetapi dengan keserasian pasukan, semuanya berjalan dengan baik," katanya.
Dalam pada itu, Sunderland mencipta kejutan apabila pemain gantian, Chemsdine Talbi meledak gol kemenangan pada masa kecederaan untuk menundukkan Chelsea di Stamford Bridge.
Tuan rumah terlebih dahulu di depan seawal minit ke-4 menerusi jaringan pertama Alejandro Garnacho bersama kelab itu, namun Sunderland menyamakan kedudukan pada minit ke-22 menerusi Wilson Isidor.
Perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri sebelum Talbi, hasil hantaran rakan sepasukannya Brian Brobbey, melepaskan rembatan rendah tepat ke penjuru gawang bagi menjaringkan gol pertamanya buat Sunderland.
“Ia satu persembahan yang baik, terutama selepas kami bolos awal,” kata jurulatih Sunderland, Regis Le Bris.
“Kami berjaya raih tiga mata dan gembira dengan cara kami bermain. Penting untuk ambil peluang apabila ia muncul," katanya.
Kekalahan itu menyaksikan Chelsea jatuh ke tangga kelapan dalam carta liga. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


