SUKAN
UTM universiti pertama Malaysia sertai pertandingan TVET Skill Barbering

Pelajar-pelajar UTM yang mengikuti latihan sebagai tukang gunting rambut di Lot 5 Kedai Gunting Rambut UTM, Student Union Building tampil dengan penuh keyakinan dalam pertandingan tersebut. - Foto Astro ARENA
UNIVERSITI Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi mencipta sejarah apabila muncul sebagai universiti pertama di Malaysia yang menyertai pertandingan TVET Skills dalam bidang barbering.
Pertandingan berprestij ini dianjurkan oleh Barber Social Club di Brick Studio, Metal Bees, Sunway Damansara pada 26 Ogos 2025.
Penyertaan ini membuktikan bahawa UTM bukan sahaja unggul dalam bidang akademik dan penyelidikan, malah turut aktif mendepani cabaran pembangunan kemahiran TVET yang kini semakin mendapat perhatian dunia.
Walaupun pelajar UTM tidak berjaya meraih tempat di podium pertama, kedua atau ketiga, penyertaan ini sebenarnya membawa mesej jauh lebih besar.Ia menunjukkan bahawa program keusahawanan yang dijalankan oleh UTM kepada pelajarnya telah dilaksanakan dengan baik, berkesan, dan membuahkan hasil dalam bentuk keberanian serta keyakinan diri untuk bersaing dengan golongan profesional.
Pelajar-pelajar UTM yang mengikuti latihan sebagai tukang gunting rambut di Lot 5 Kedai Gunting Rambut UTM, Student Union Building tampil dengan penuh keyakinan dalam pertandingan tersebut.
Mereka bukan sekadar peserta, tetapi wakil kepada inovasi pendidikan tinggi yang berjaya menggabungkan elemen akademik, keusahawanan, dan latihan TVET dalam satu ekosistem pembelajaran.
Hakikat bahawa pelajar universiti mampu berdiri sebaris dengan barber profesional serta jaguh industri membuktikan bahawa UTM berjaya menyediakan satu platform latihan yang relevan dengan keperluan industri. Keupayaan ini mengangkat martabat UTM sebagai institusi pendidikan yang bukan sahaja melahirkan graduan berilmu, tetapi juga graduan yang berkemahiran tinggi, versatil, dan bersedia menyahut cabaran pasaran kerja.
Penyertaan dalam pertandingan barbering ini juga membuka perspektif baharu kepada masyarakat umum bahawa TVET bukan hanya terbatas kepada sekolah vokasional atau pusat kemahiran, tetapi boleh berkembang luas di universiti penyelidikan seperti UTM. Inilah transformasi sebenar pendidikan tinggi abad ke-21 – menggabungkan teori, penyelidikan, inovasi, dan kemahiran praktikal untuk melahirkan modal insan yang lengkap.
Lebih penting, usaha ini merupakan bukti nyata bagaimana universiti dapat memainkan peranan besar dalam membangunkan komuniti setempat dan industri tempatan. Dengan melibatkan golongan belia dalam bidang gunting rambut, UTM membantu mengangkat martabat industri grooming sebagai satu cabang keusahawanan yang berdaya maju, sekali gus menggalakkan pembangunan sosioekonomi melalui TVET.
Pencapaian ini juga selari dengan aspirasi negara untuk memperkukuhkan pendidikan TVET sebagai salah satu pemacu ekonomi masa depan.
Dengan keberanian pelajar UTM menyahut cabaran di pentas pertandingan profesional, mesej jelas dihantar kepada industri bahawa graduan universiti juga mampu menjadi pemain utama dalam sektor kemahiran dan keusahawanan.
Secara keseluruhannya, penyertaan UTM dalam pertandingan barber ini bukan sekadar sebuah pengalaman, tetapi sebuah pencapaian bersejarah yang perlu diraikan. Ia membuka mata banyak pihak bahawa universiti mampu menjadi jambatan utama antara dunia akademia dan industri TVET.
Program inisiatif ini wajar diteruskan dan diperluas kerana ia membuktikan bahawa pendidikan tinggi Malaysia mampu melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi intelek, tetapi juga berkemahiran tinggi, berdaya saing, dan relevan dengan kehendak masyarakat serta negara.
Artikel ini disediakan oleh Pengarah Pusat Inovasi dan Teknologi Sukan, Pensyarah Kanan Sains Sukan Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi Universiti Teknologi Malaysia JB, Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami