KUALA LUMPUR: Beregu lelaki badminton negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun berpeluang merebut slot Sukan Olimpik 2024 sekiranya mampu mengekalkan prestasi di Masters Malaysia 2023 yang berakhir semalam.

Jurulatih beregu lelaki negara Tan Bin Shen berkata prestasi dipamerkan beregu di kedudukan ke-26 dunia pada kejohanan Super 500 itu merupakan permulaan baik buat mereka sebelum menyertai kejohanan di gred lebih tinggi seperti Super 1000 untuk kelayakan ke Paris 2024.

Namun beliau berkata pasangan lain termasuk pemain junior yang menampilkan prestasi terbaik dan menyertai kejohanan Super 1000 turut berkesempatan untuk melayakkan diri ke temasya itu yang hanya berlangsung setiap empat tahun.

"Wei Chong-Kai Wun ada peluang lagi untuk Olimpik, permulaan yang baik bagi mereka. Saya harap mereka akan kekal konsisten, belajar daripadanya, kemudian tunjukkan...

"Namun kalau ada mana-mana pemain termasuk pemain junior yang mampu bermain di kejohanan Super 1000 pun mereka ada peluang," katanya kepada pemberita ketika ditemuai selepas aksi final Masters Malaysia 2023 di Axiata Arena di sini, malam tadi.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sebelum ini mengumumkan tempoh kelayakan ke Olimpik 2024 bermula dari 1 Mei 2023 hingga 28 April 2024 dan jumlah kuota bagi acara-acara badminton kekal 172 tempat melibatkan 86 lelaki dan 86 wanita.

Bagi acara beregu, setiap negara mempunyai kuota maksimum dua tempat jika kedua-dua pasangan berada di kedudukan lapan terbaik pada tarikh kelayakan dan harus ada sekurang-kurangnya satu pasangan daripada setiap lima konfederasi benua, dengan syarat mereka berada dalam ranking 50 terbaik.

Terdahulu, Wei Chong-Kai Wun buat pertama kali berjaya ke perlawanan akhir Masters Malaysia 2023 selepas membenam pasangan Indonesia Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin 21-17, 22-20 namun kecundang di final kepada gandingan Korea Selatan Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dengan 15-21, 24-22, 19-21.

Sementara itu mengulas mengenai persembahan beregu lelaki utama negara yang juga Juara Dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di Masters Malaysia 2023, Bin Shen berkata pasangan itu tewas atas faktor kurang kecergasan dan pertahanan di dalam gelanggang.

"Dari segi kecergasan dan kekuatan, mereka kena perbaiki, beberapa perincian, perancangan, mereka kena ubah. Bagi saya persembahan mereka masih baik, sebab pusingan pertama lagi cabarannya sengit, prestasi masih baik.

"Saya harap Aaron-Wooi Yik akan layak (ke Olimpik) saya rasa pemain dapat hadapi perkara ini, saya masih yakin (untuk mereka ke Olimpik)," katanya.

Aaron-Wooi Yik kecundang pada peringkat suku akhir Masters Malaysia 2023 selepas tewas kepada gandingan Leo-Daniel 18-21,19-21.

-- BERNAMA