KETUA jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel, menamakan bekas pengendali Arsenal, Arsene Wenger, sebagai idolanya.

Tuchel telah dikaitkan menjadi pengganti Wenger di Arsenal pada April, tetapi bekas pengendali Borussia Dortmund itu mengambil keputusan untuk menyertai PSG.

Pengendali kelahiran Jerman itu menafikan sebarang maklumat mengenai perancangannya untuk mengendalikan Arsenal tetapi meluahkan minat terhadap usaha yang telah dipamerkan oleh Wenger bersama The Gunners.

"Saya telah membuat keputusan sebelum Wenger berhasrat untuk meninggalkan kelab. Saya menghormati beliau. Wenger telah membina kelab tersebut dan memberikan gaya permainan yang tersendiri.

"Beliau adalah idola saya serta buat setiap jurulatih bola sepak. Saya mengambil keputusan untuk menyertai PSG dan tidak tahu bahawa beliau mahu meninggalkan kelab," katanya Tuchel.

Tuchel menjelaskan beliau tidak sabar untuk bertemu dengan pengurus baru Arsenal, Unai Emery untuk bertanyakan mengenai pengalamannya di Parc des Princes.

"Saya tidak sabar untuk berbual bersamanya. Saya tidak pernah melakukannya bersama kelab sebelum ini.

"Emery merupakan salah seorang jurulatih yang berjaya di Eropah. Dia telah banyak menjuarai gelaran," katanya.