Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) bakal bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi mewujudkan lebih banyak kelab memanah di peringkat sekolah.

Presidennya, Datuk Seri Johari Baharom berkata langkah tersebut bagi melahirkan lebih ramai pemanah negara dalam kalangan belia supaya menjadi pelapis dalam sukan memanah akan datang.

"Kita hendak fokus kepada memanah. Saya akan panggil pihak-pihak tertentu untuk mengatur program berbentuk bengkel dan latihan yang manfaatkan belia.

"Melalui stimulasi yang dijalankan baru-baru ini, kita ada pemanah yang berpotensi dan boleh mengambil alih tempat atlet sekarang ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan pingat kepada pemenang acara compound berpasukan campuran di padang sintetik, Majlis Sukan Negara di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Pertahanan itu juga berkata skuad memanah negara berpotensi untuk menghadiahkan dua lagi pingat emas dalam lima lagi acara memanah yang berlangsung esok sehingga 22 Ogos ini kerana semangat dan kerjasama berpasukan yang ditonjolkan oleh pasukan negara sangat baik.

Mengulas mengenai insentif atau ganjaran khas kepada skuad negara, Johari menjelaskan pihaknya akan berbincang terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang keputusan.

Sasaran NAAM tercapai apabila skuad memanah compound negara meraih tiga pingat emas, satu perak dan satu gangsa pada KL2017.

-- BERNAMA