Yu Qi bertemu Kunlavut pada final Terbuka Malaysia 2026

Shi Yu Qi (gambar) semasa menentang Anders Antonsen pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia Petronas 2026 di Stadium Axiata Arena Kuala Lumpur, 10 Jan 2026. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia, Shi Yu Qi dari China, semakin hampir untuk mempertahankan gelarannya selepas berjaya melangkah ke final Terbuka Malaysia 2026.
Ringkasan AI
- Shi Yu Qi dari China berjaya melangkah ke final Terbuka Malaysia 2026 selepas menewaskan Anders Antonsen dari Denmark dalam perlawanan separuh akhir.
- Kunlavut Vitidsarn dari Thailand akan berdepan dengan Shi Yu Qi dalam final tersebut selepas mengalahkan Jonatan Christie dari Indonesia.
- Wang Zhi Yi dari China akan berentap dengan An Se Young dari Korea Selatan dalam acara perseorangan wanita selepas menewaskan Pusarla V. Sindhu dari India.
"Esok akan menjadi cabaran baharu bagi saya dan saya akan memberikan yang terbaik," katanya kepada pemberita dalam temuramah selepas perlawanan di zon campuran.
Sementara itu, Kunlavut mengambil masa 63 minit untuk menyingkirkan pemain pilihan keempat, Jonatan Christie dari Indonesia, 21-16, 21-16.
Pemain nombor dua dunia itu mengakui terpaksa berhempas-pulas sebelum berjaya memperoleh kemenangan, dan akan mencuba memberikan yang terbaik untuk menjuarai gelaran Super 1000 pertamanya, hari ini.
Sementara itu, pemain perseorangan wanita yang juga pilihan kedua dari China, Wang Zhi Yi, meneruskan prestasi cemerlangnya dengan mengalahkan bekas juara dunia dari India, Pusarla V. Sindhu, 21-16, 21-15.
Zhi Yi akan dicabar juara bertahan dan pemain pilihan utama dari Korea Selatan, An Se Young, yang mara ke final tanpa perlu beraksi selepas pemain pilihan keempat China, Chen Yu Fei, menarik diri.
Dalam acara beregu wanita, pasangan pilihan keenam dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee, mempamerkan persembahan cemerlang untuk menumpaskan juara bertahan dari Jepun yang juga pasangan pilihan kelima, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto, 21-16, 21-12.
Terdahulu, pasangan pilihan utama dan juara 2024, Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China, mara ke pusingan akhir selepas mengetepikan pasangan Korea Selatan, Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo, 21-8, 21-17.
China turut unggul dalam acara beregu campuran apabila pasangan nombor satu dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, ternyata terlalu kuat untuk pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet, selepas menamatkan perlawanan dengan kemenangan selesa 21-14, 21-14.
Separuh akhir lain menyaksikan China terus mencatat kejayaan apabila pasangan Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin menewaskan gandingan Denmark, Jesper Toft-Amalie Magelund, 21-15, 21-14 untuk melengkapkan perlawanan akhir yang membabitkan semua pemain negara Tembok Besar itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


