LIONEL MESSI pernah mengadakan perbincangan dengan Inter Milan untuk menyertai pasukan gergasi Itali itu selepas meninggalkan Barcelona, demikian didedahkan Javier Zanetti.

Messi meninggalkan Barca pada 2021 selepas menjulang 10 trofi LaLiga dan empat gelaran Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bersama kelab itu, di mana dia kemudian memilih untuk menyertai pasukan Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG).

Zanetti, yang merupakan bekas rakan sepasukan Messi dalam skuad Argentina dan kini naib presiden Inter, berkata pernah ada peluang untuk penyerang terbaik dunia itu menyertai pasukan juara 19 kali Serie A berkenaaan sebelum dia memilih untuk menyertai PSG.

Bagaimanapun, Zanetti mengakui kelemahan Inter daripada segi kewangan berbanding pesaing lain menjadi sebab utama Messi memilih untuk ke PSG.

Dia berkata kepada DAZN: "Saya terkejut apabila dia meninggalkan Barcelona.

"Secara realistiknya, kami tidak dapat bersaing dengan PSG atau kelab daripada Liga Perdana Inggeris (EPL) tetapi disebabkan hubungan baik, kami ada berbincang sewaktu kami berpeluang untuk mendapatkannya," katanya.

Sejak dari itu, Messi memenangi satu gelaran Ligue 1 bersama PSG dan menamatkan penantian kejuaraan Piala Dunia bersama Argentina tahun lalu, sambil Inter pula kini sedang bergelut untuk mengulangi kejayaan, di mana mereka menamatkan kemarau 10 tahun gelaran Serie A dalam musim 2020-21. -- Stadium Astro