SEATTLE: Platform penstriman Twitch memperkenalkan tetapan baharu yang membenarkan kandungan pengguna digunakan bagi melatih model kecerdasan buatan (AI) generatif Amazon bermula 12 Ogos, lapor Amanz.
Langkah itu membolehkan kandungan seperti video, audio, sejarah sembang serta bahan lain yang diterbitkan pada saluran pengguna digunakan untuk menambah baik model AI yang menjana atau mensintesis teks, audio, imej dan video.
Menurut Twitch, penggunaan data tersebut antara lain bertujuan mempertingkat teknologi pengecaman pertuturan, ketepatan sari kata automatik serta fungsi keselamatan seperti AutoMod.
Bagaimanapun, langkah itu mencetuskan kritikan dalam kalangan komuniti Twitch kerana pengguna didaftarkan secara automatik ke dalam program latihan AI berkenaan dan perlu memilih untuk keluar secara manual jika tidak bersetuju.
Di bawah tetapan baharu itu, kandungan penstrim boleh digunakan untuk tujuan latihan model AI Amazon melainkan mereka menyahaktifkan pilihan tersebut melalui tetapan akaun masing-masing.
Bagi pengguna yang ingin menarik diri daripada program tersebut, mereka perlu pergi ke menu Settings, diikuti Security & Privacy, sebelum mematikan pilihan Training for Generative AI.
Perubahan itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha Amazon memperkukuh keupayaan AI generatifnya menerusi data yang dikumpulkan daripada platform Twitch.
Namun pendekatan tersebut terus menjadi pertikaian dalam kalangan pencipta kandungan yang mempersoalkan isu persetujuan dan penggunaan data pengguna.
Ketua Produk Twitch, Mike Minton, mempertahankan pendekatan opt-out itu dengan berkata bahawa jika penyertaan dibuat secara sukarela menerusi kaedah opt-in, "tiada siapa akan menyertainya".