PROSES berpindah daripada Android ke iOS adalah mudah kerana wujudnya aplikasi Move to iOS.

Bagaimanapun, proses meninggalkan iPhone untuk berpindah ke Android adalah lebih rumit walaupun wujud aplikasi Switch to Android.

Dalam dokumen yang diterbitkan oleh Apple bagi mematuhi keperluan Digital Markets Act (DMA) di Kesatuan Eropah (EU), mereka mengesahkan proses ini akan dipermudahkan menjelang penghujung 2024 atau awal 2025.

Walaupun diumumkan untuk EU, proses pemindahan data ke Android lebih mudah ini boleh diakses semua pengguna.

Mereka turut mengesahkan pada penghujung tahun ini, pengguna boleh membuang terus Safari daripada iPhone sekiranya tidak diperlukan kerana menggunakan pelayar web lain.

Sistem memindahkan data daripada satu pelayar web ke pelayar web juga akan hadir selewat-lewatnya awal 2025.

Apple baru sahaja didenda lebih RM9 bilion oleh EU kerana kegagalan mematuhi kesemua keperluan DMA khususnya dalam kawalan App Store.

Mereka perlu akur dengan keperluan EU kerana Eropah adalah antara pasaran utama dunia. Ketegasan EU adalah penyebab iPhone 15 kini semua menggunakan USB-C.